Peruntukan RM 100 jalan-jalan besar Sabah

Berang dengan tindakan Kementerian Kerja Raya yang hanya memperuntukkan hanya RM100 untuk Jalan-jalan Besar di Sabah, Wilfred Madius Tangau (Upko – Tuaran) menghantar dua usul mencadangkan pemotongan RM1 bilion daripada peruntukan untuk Semenanjung Malaysia.

Katanya, ini dinyatakan di bawah aktiviti yang disebut sebagai “Lain-lain Pembinaan” yang diperuntukkan sebanyak RM1.029 bilion.

“Saya mencadangkan supaya RM1 billion, yang dipotong itu diperuntukan semula di kementerian yang sama tetapi RM500 juta diberikan kepada Sabah dan RM500 juta lagi diberi kepada Sarawak, manakala selebihnya iaitu RM29 juta lagi diberikan kepada Semenanjung.

“Cadangan ini dibuat kerana saya dapati peruntukan yang diberikan untuk Jalan-jalan Besar di Sabah untuk tahun hadapan, tahun 2021, hanyalah RM100 sahaja,” katanya

Madius yang juga presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.

Dia turut mencadangkan supaya baki RM500 juta lagi diberikan kepada Sarawak untuk “Naiktaraf Jalan-Jalan” kerana pada tahun 2021 hanya RM1.5 juta sahaja yang diperuntukan untuk tujuan berkenaan.

“Umum sudah sedar bahawa jalan-jalan persekutuan di Sabah dan Sarawak sangat mendesak untuk dinaiktaraf khususnya untuk memacu pembangunan kedua-dua wilayah tersebut.

“Saya berharap usul saya ini dibenarkan oleh speaker untuk dibahas dan dipertimbangkan untuk kelulusan Dewan sebelum perbahasan Kementerian Kerja Raya di Peringkat Jawatankuasa.

“Usul ini juga saya buat atas rasa tanggungjawab sebagai ahli parlimen daripada Sabah dan juga keprihatinan terhadap tahap infrastruktur di kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak yang masih keterbelakang berbanding di Semenanjung,” katanya.

Untuk rekod, usul tersebut dibuat di bawah peraturan 66(9) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya akan dibahas dan digulung minggu depan.

 

sumber : malaysiakini.com

COMMENTS