MB hina keluarga kami – anak Ust. Azizan

WARKAH UNTUK YANG AMAT BERHORMAT MENTERI BESAR KEDAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji-pujian untuk Allah selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Assalamualaikum W.B.T saya ucapkan kepada Y.A.B Menteri Besar.

  1. Pertama sekali saya ingin memperkenalkan diri saya memandangkan Y.A.B MB sudah terlupa siapa saya, nama saya Ahmad Faiq bin Azizan iaitu anak ketujuh daripada Isteri Pertama Arwah Ustaz Azizan.
  2. Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk memberi teguran dan peringatan khususnya kepada Y.A.B dan pimpinan PAS Kedah amnya. Sebelum saya membuat teguran saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli dan pendukung-pendukung PAS serta penyokong-penyokong arwah ayah saya sejak beliau mula mengaktifkan diri dalam bidang politik bermula dari tahun 1978 sehinggalah kematian beliau pada tahun 2013.
  3. Y.A.B MB, suka saya ingatkan disini selepas Y.A.B MB menjadi Menteri Besar hasil rampasan kuasa kerajaan PN di negeri Kedah, ramai pihak-pihak dan individu-individu menghubungi saya dan juga ibu saya dan memohon kami membantu mereka untuk berjumpa dengan Y.A.B MB. Perkara ini disebabkan, selepas kematian Arwah ayah saya, Y.A.B MB telah menjaja dan menjual diri Y.A.B sebagai anak didik Ustaz Azizan. Malah, tagline “Kedah Sejahtera Nikmat untuk Semua” adalah tagline yang sama digunakan semasa Arwah ayah saya menjadi Menteri Besar.
  4. Malangnya, pihak-pihak dan individu-individu tersebut tidak mengetahui bahawa keluarga kami hanya mengenali Y.A.B MB selama lima tahun semasa arwah ayah saya menjadi Menteri Besar. Malangnya mereka juga tidak mengetahui bahawa selepas kematian arwah ayah saya pada tahun 2013, dan selepas Pilihanraya Kecil DUN Sungai Limau, kami sekeluarga telah diabaikan sepenuhnya oleh pihak Y.A.B MB. Walaupun kami sekeluarga telah memberikan sokongan penuh kepada calon PAS sehingga beliau memenangi Pilihanraya Kecil tersebut. Malah ibu tiri dan adik-beradik sebapa saya sanggup keluar dari rumah yang disewa oleh arwah ayah saya sejak tahun 1995 kerana pihak Y.A.B MB ingin menjadikan rumah tersebut sebagai markas untuk menempatkan petugas-petugas pilihanraya walaupun pada ketika itu, ibu tiri saya masih di dalam tempoh Iddah ketika itu.
  5. Pada bulan Jun 2020, pihak Y.A.B MB telah bersetuju untuk bertemu ibu saya di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, pihak Y.A.B MB bertemu kami di lobi dan kami menyampaikan ucapan tahniah dan memaklumkan bahawa ramai pihak telah bertemu dengan kami dan memohon bantuan kami untuk mengaturkan perjumpaan dengan Y.A.B MB. Pada masa itu, saya tidak pasti samada Y.A.B MB dengan sengaja ataupun tidak sengaja telah menghina keluarga kami.
  6. Pada bulan September 2020, satu program wawancara telah dianjurkan oleh The Ummah Talk dengan kerjasama Sinar Harian untuk memperingati Arwah ayah saya. Di mana panel jemputan pihak penganjur adalah Dato’ Seri Mukhriz, Dato’ Taulan Rasul (bekas ADUN PAS dari tahun 1999-2013) dan diri saya sendiri.
    Saya telah menghadiri program tersebut, dan malangnya saya telah dimaklumkan bahawa pihak Y.A.B MB ada mengganggu ibu saya kerana saya telah hadir program tersebut.

Saya ingin menegaskan disini, bahawa pihak yang dijemput adalah saya dan bukannya ibu saya. Tindakan Y.A.B MB menganggu ibu saya adalah tindakan kebudak-budakan dan sangat tidak matang. Saya seorang dewasa yang mana saya boleh berfikir sendiri dan seharusnya Y.A.B MB boleh menghubungi saya secara terus.

  1. Yang Amat Berhormat MB, saya dengan rasa rendah diri dan hina, memohon Y.A.B MB memohon maaf secara terbuka atau tertutup kepada saya dan ibu saya. Ibu saya bukanlah orang politik tetapi dia hanyalah isteri orang politik.

Kedua, saya memohon Y.A.B MB menasihatkan pimpinan PAS Kedah khususnya Pesuruhjaya Ustaz Ahmad Yahya untuk memohon maaf kepada saya secara terbuka kerana telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di Harakah pada 27 September 2020, “Pas Kedah kesal dengan sikap individu tertentu yang cuba mengambil kesempatan di atas ketokohan Ustaz Azizan walhal ketika hayatnya pihak berkenaan menjadi penentangnya.”

Dulu lawan perjuangan Ustaz Azizan – Ahmad Yahaya

Seharusnya pimpinan-pimpinan PAS Kedah datang berjumpa dan bertanya kepada saya sendiri, bukan dengan cara menyerang saya secara fitnah dan memalukan parti yang mendakwa membawa perjuangan Islam. Saya ingin menegaskan disini, saya hanya menyertai forum mengenai arwah ayah saya, bukanlah saya meninggalkan agama Islam.

  1. Tujuan saya menulis warkah ini adalah untuk memberi teguran dan peringatan kerana itu adalah hak saya sebagai rakyat Kedah, sebagai anak Ustaz Azizan dan saya masih sayangkan ahli-ahli PAS yang sanggup menghabiskan masa, harta dan tenaga untuk memperjuangkan parti, tetapi malangnya bagi ahli-ahli tersebut kerana mempunyai pimpinan-pimpinan atasan PAS Kedah yang seolah-olah riak dan bongkak setelah menjadi kerajaan negeri hasil rampasan kuasa. Semasa ayah saya menjadi MB, pelbagai lapisan masyarakat termasuklah orang UMNO datang menziarahi arwah ayah saya dan beliau cuba sedaya upaya untuk melayani mereka. Sikap Y.A.B MB sebegini membuatkan Y.A.B MB tidak layak digelar anak didik Ustaz Azizan.
  2. Kepada rakyat Kedah, sekiranya saya sekeluarga waris arwah Ustaz Azizan telah dilayan oleh Y.A.B MB sebagai “paria”, saya yakin Y.A.B MB hanya akan melayan dan membantu rakyat sekiranya dapat memberi kepentingan politik kepada Y.A.B MB.
  3. Saya memohon maaf sekiranya warkah ini kasar dan mengguris hati Y.A.B MB, tetapi saya mengambil prinsip berani kerana benar dan saya tidak mahu sikap dan tindak tanduk Y.A.B MB merosakkan nama baik arwah ayah saya.
  4. Yang Amat Berhormat MB, ingatlah ayat ini; Surah Al-Imran ayat 26 yang bermaksud “Say: ‘O Allah, Lord of all dominion! You give dominion to whom You will, and take away dominion from whom You will, and You exalt whom You will, and abase whom You will. In Your Hand is all good. Surely You are All-Power-ful.”

Sekian, terima kasih. Semoga pihak Y.A.B MB bertaubatlah sebelum bertemu dengan Maha Pencipta.

Ahmad Faiq bin Azizan

FaiqAzizan

COMMENTS