Pengumuman MB Kedah cetus kebimbangan terhadap alam sekitar

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyuarakan kebimbangan serius terhadap pengumuman oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kerajaan negeri telah mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur untuk mencari dan mengekstrak elemen nadir bumi (REE) di negeri ini .

Ketika mengumumkan perkara itu, Sanusi berkata syarikat tempatan itu juga bekerjasama dengan firma antarabangsa untuk tinjauan cari gali dan mereka akan melakukan kerja-kerja penerokaan dan pengekstrakan itu di Sik.

Sanusi juga memberi jaminan bahawa bahan galian tersebut tidak radioaktif, dan kerja-kerja cari gali dan pengekstrakan bahan galian semulajadi itu tidak akan melibatkan aktiviti perlombongan.

“Menurut laporan media, Sanusi mendakwa bahawa REE tidak radioaktif dan dijumpai di Sik, Ulu Muda dan Baling di Kedah.

“Kebimbangan kami tidak akan dilegakan oleh (kenyataan) menteri besar Kedah atau kerajaan pusat bahawa usaha itu tidak melibatkan unsur radioaktif,” kata Presiden NGO Sahabat Alam Malaysia Meenakshi Raman dalam satu kenyataan hari ini.

Sanusi berkata, galian tersebut mendapat permintaan tinggi dalam pembuatan komponen untuk telefon pintar dan komputer riba, tetapi tidak menyebut jenis unsur nadir bumi yang terlibat.

Pejabatnya kemudian berkata angka yang betul untuk simpanan galian nadir bumi Kedah adalah bernilai sekitar RM62 bilion.

NGO alam sekitar itu berkata projek usaha sama di Perak melibatkan kerajaan negeri dan sebuah syarikat China, Chinalco GXNF Rare Earth Development yang akan melakukan penerokaan bahan galian nadir bumi.

“Kementerian ketika memberi maklum balas kepada SAM kemudian mendakwa bahawa kepakaran orang China dalam mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak, terutama di tanah liat pencerapan ion, tidak akan mengandung torium atau uranium sebagai sisa produk sampingan,” katanya.

Menurut SAM, pihaknya percaya bahawa projek perkongsian di Kedah itu mungkin serupa dengan yang dilakukan di Perak dan meminta menteri besar untuk mengesahkan sama ada usaha sama tersebut melibatkan syarikat China yang sama atau tidak.

SAM mendakwa kajian awal mengenai pengalaman di China menunjukkan bahawa terdapat kerosakan alam sekitar yang sangat serius dan kesan burruk terhadap kesihatan manusia yang berkaitan dengan perlombongan dan pencucian larutan sumber tanah pencerapan ion untuk nadir bumi itu.

“Pertama, demi kepentingan ketelusan, kami meminta kerajaan negeri Kedah untuk memaklumkan kepada orang ramai serta mendedahkan isi perjanjian dan syarikat yang terlibat dalam projek usaha sama tersebut.

“Orang ramai berhak untuk tahu syarikat itu ditugaskan untuk membuat apa dan di mana aktiviti penerokaan akan dilakukan serta apa jaminan perlindungan alam sekitar dan keselamatan sosial yang akan dilaksanakan.

“Kedua, kami meminta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk memaklumkan kepada orang ramai dasar kerajaan mengenai pengembangan industri nadir bumi, dan mendapatkan rundingan daripada orang ramai sebelum mengizinkan negeri-negeri untuk melakukan kegiatan tersebut, tidak hanya di Kedah dan Perak tetapi di mana sahaja di negara ini,” katanya.

SAM memberi amaran bahawa kerajaan persekutuan dan negeri tidak boleh dibutakan dengan janji bernilai berbilion dan bertrilion ringgit dalam kaitannya dengan industri nadir bumi, yang dilihatnya sebagai industri kotor dan beracun, sama dengan apa yang diketahui mengenai industri plastik.

“Kita perlu mencari alternatif untuk nadir bumi kerana sifatnya yang merosakkan.

“Malaysia mesti melihat keutamaannya dengan betul dan meletakkan alam sekitar sebagai perkara penting, dan tidak terus menjarah dan merosakkan sumber semula jadi kita, atas nama menjana kekayaan ekonomi.

“Jelas, kita tidak belajar daripada pelajaran pada masa lalu tentang apa yang diperlukan untuk benar-benar mampan, tetapi sebaliknya meninggalkan warisan toksik beracun buat generasi yang akan datang,” kata SAM.

Malaysiakini  telah menghubungi Pejabat Menteri Besar Kedah bagi mendapatkan penjelasan mengenai hal ini dan masih menunggu maklum balas lanjut.

Sumber: Malaysiakini

COMMENTS