Pendidikan: Sesi persekolahan pelajar SPM tamat 9 Feb 2021

Kementerian Pendidikan menamatkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) tahun 2020 pada 9 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran Habibah Abdul Rahim bertarikh 4 Feb.

“KPM ingin memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon peperiksaan SPM dan SVM tahun 2020 akan berakhir pada 9 Feb 2021.

“Ini adalah bagi memberi ruang kepada murid untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Feb 2021,” katanya dalam pekeliling itu ditujukan kepada semua Ketua Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri.

Pada 11 Jan lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk bagi SPM sesi 2020 dan 2021 dibenarkan hadir ke sekolah, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Berita berkaitan | Pendidikan: Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di TV AlHijrah mulai hari ini

Muhyiddin berkata walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat terutama di negeri yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP), pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama itu.

“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia akan memperincikan SOP ini,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai pelaksanaan PKP.

Menurut pekeliling itu pelajar yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama.

Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada pelajar yang ingin menyambut perayaan Tahun Baru Cina bersama keluarga dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan tamat.

Pelajar yang kembali ke asrama selepas perayaan Tahun Baharu Cina akan diasingkan selama 10 hari di asrama, sebagai pematuhan (SOP) Covid-19.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata proses pembelajaran masih disambung di rumah.

Namun, dia sedar mungkin pelajar sedikit terkesan dengan situasi ini.

“Proses pengajaran guru masih berlaku hingga hari peperiksaan (secara) pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Mungkin ada sedikit gangguan pada pelajar tapi mampu diteruskan peperiksaan SPM. Kami NUTP sokong SPM diteruskan seperti mana jadual pada 22 Feb,” katanya kepada Malaysiakini.-MK

COMMENTS