Mengganas angkara pokok jambu, ‘Datuk’ diheret ke Mahkamah

Individu didakwa bergelar ‘Datuk’ yang bertindak ganas terhadap seorang wanita, hanya angkara pertikaian berhubung pokok jambu perlu diheret ke muka pengadilan.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie, yang mengecam tindakan sedemikian berkata polis harus mengambil tindakan segera terhadap suspek, sebagai peringatan dan pengajaran kepada orang ramai.

Katanya, ia selaras usaha kerajaan dalam membanteras budaya buli, khususnya yang menyasarkan kaum wanita dan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Tidak kira siapa atau apa puncanya, menjadi satu kesalahan jenayah untuk mencederakan orang lain, apatah lagi mangsa seorang wanita yang tidak berdaya.

“Malaysia ialah sebuah negara berperlembagaan dengan sistem undang-undang yang mantap, justeru sebarang pertikaian atau perselisihan haruslah diselesaikan mengikut lunas perundangan.

“Lelaki bergelar ‘Datuk’ yang melakukan serangan itu atas alasan untuk memberi pengajaran kepada jiran wanitanya boleh dianggap sebagai satu tindakan jenayah yang mencabar integriti polis dan kedaulatan undang-undang di negara ini, sekiranya terbukti benar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media kelmarin melaporkan seorang wanita membuat laporan polis terhadap jirannya, selepas individu didakwa bergelar ‘Datuk’ itu menceroboh masuk ke rumah dan cuba mencederakannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang, di Sri Bukit Persekutuan, suspek didakwa mengheret wanita berkenaan dan melakukan beberapa serangan fizikal, selain menghempas telefon bimbit mangsa.

Insiden itu didakwa tercetus selepas mangsa mengirimkan nota kepada suspek untuk meminta memotong dahan pokok jambu yang memasuki kediaman wanita berkenaan, memandangkan ia mengundang serangga, tikus dan kelawar.

Berita panas |Ibu bapa ‘binatang’, anak 7 tahun maut dipercayai didera

Seai Kie berkata insiden membabitkan individu bergelar ‘Datuk’ sejak kebelakangan ini beberapa kali terjadi, sekali gus berupaya mencemarkan gelaran yang dianugerahkan kepada mereka.

“Ini secara tidak langsung memberi kesan buruk, maka tindakan segera yang sewajarnya harus diambil, mengikut proses perundangan demi mengelakkan kejadian sama berulang dan menjadi contoh buruk kepada masyarakat.

“Walaupun difahamkan mangsa sendiri ialah seorang peguam bertauliah, tetapi sekiranya perlu, Wanita MCA sedia membantu melalui Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita (LAWA), pada bila-bila masa.

“Ini kerana, membanteras budaya buli dan melindungi mereka yang teraniaya ialah tanggungjawab bersama, ke arah memupuk masyarakat yang aman dan harmoni serta selamat dalam persekitarannya untuk semua,” katanya.

Sumber Berita

COMMENTS