MFL rayu MKN benarkan pasukan Liga Malaysia berlatih

Pertimbangan sewajarnya dimohon daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) berlatih bermula minggu depan menjelang sepak mula liga domestik pada 5 Mac ini.

Ia diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang mengakui semua pasukan bersedia memberi sepenuh komitmen dalam mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“MFL masih lagi dengan jadual 5 Mac (tarikh permulaan Liga M), dan mengharapkan perkara ini dapat dipertimbangkan oleh MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk membenarkan pasukan berlatih dahulu dengan segera yang mungkin dengan SOP ketat.

“Kita dah bincang dengan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dengan MSN (Majlis Sukan Negara), kita nak agar dibenarkan pasukan bola sepak bermain mengikut jadual liga 5 Mac.

Isu semasa | Dimana MB dan Syed Hafiz disaat Makcik Rokhimah hidup menderita?

“Itu tak sampai sebulan untuk berlatih sebelum mula liga. Harap selewat-lewatnya minggu depan dibenarkan (berlatih),” katanya ketika dihubungi.

Malah katanya kepada Arena Metro, pasukan juga berjanji untuk mengetatkan lagi SOP bagi memastikan tidak berlakunya penularan wabak Covid-19 kepada pasukan masing-masing.

“Perjumpaan saya dengan semua CEO kelab, mereka setuju dengan SOP yang ketat untuk benarkan berlatih.

“Jadi kita harap pertimbangan membenarkan pasukan berlatih. SOP pun kita dah bincang dengan KBS dan akan dibawa ke MKN,” katanya.

Sebelum ini, MFL membuat keputusan untuk menunda tarikh bermulanya Liga M kepada 5 Mac ini susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari,-HM

COMMENTS