Kutipan Zakat P.Pinang meningkat RM 9.4 juta dari tahun sebelumnya

Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjaya mengutip sebanyak RM130.8 juta membabitkan zakat harta dan zakat fitrah pada tahun lalu berbanding RM121.4 juta pada tahun sebelumnya.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata sepanjang tempoh yang sama, ZPP telah mengagihkan sebanyak RM126.5 juta berbanding RM112.4 juta pada tahun 2019 iaitu peningkatan 12.5 peratus.

“Pada tahun lepas, prestasi kutipan zakat harta mencatatkan sebanyak RM125,297,037.26 iaitu meningkat 7.6 peratus berbanding tahun 2019 yang merekodkan jumlah RM116,364,840.2.

“Manakala bagi kutipan zakat fitrah pula ialah sebanyak RM5,560,586.81 dikutip tahun lalu berbanding RM5,066,361 pada 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bilangan pembayar zakat didapati meningkat apabila mencatatkan seramai 70,677 orang tahun lalu berbanding berbanding 67,149 pada 2019.

isu politik semasa | MP PN dapat peruntukan RM 3.7 juta, MP Pembangkang tiada peruntukan

Katanya, jumlah penerima zakat juga didapati meningkat sebanyak 31 peratus iaitu daripada 31,821 orang pada 2019 kepada 41,690 orang tahun lalu membabitkan tujuh kategori asnaf, antaranya fakir, miskin, amil dan mualaf.

Ahmad Zakiyuddin, yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, berkata ZPP juga merupakan institusi zakat paling awal telah bergerak menyantuni masyarakat Islam yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan sebanyak RM15.9 juta bantuan khas telah diagihkan kepada 27,532 penerima.

“Bantuan khas itu diberikan sejak 22 Mac hingga 31 Dis lalu kepada peniaga kecil/penjaja, asnaf putus belanja, sara hidup bulanan, makanan bulanan, pemandu e-hailing/pekerja gaji harian, nyahkuman masjid serta surau, Nur Ramadan dan sagu hati hari raya,” katanya.

Katanya, ZPP mempunyai sembilan cawangan di seluruh negeri termasuk sebuah van bergerak untuk memudahkan orang ramai membayar zakat serta pihaknya juga turut menjalankan skim potongan zakat bulanan yang telah dikenakan semula sebagai skim sakinah.

“Secara keseluruhanya ZPP telah mengagihkan sebanyak 96.8 peratus daripada jumlah kutipan zakat pada tahun lepas berbanding sekitar 91 peratus pada 2019,” katanya.- MK

COMMENTS