MCA bidas polis tanggalkan lukisan komunis

MCA menyatakan keprihatinannya terhadap reaksi pihak berkuasa terhadap sebuah restoran di Pulau Pinang yang menampal kertas hias dinding (wallpaper) karikatur pemimpin revolusi komunis Mao Tse Tung, yang juga pengasas Republik Rakyat China.

Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng berkata, gambar pada kertas hias dinding di restoran masakan Hunan di Bukit Mertajam itu hanya hiasan dan menyifatkan tindakan polis terlalu keras dan “sensitif”.

Dia mengatakan bahawa perkara itu tidak perlu ditangani polis tidak dan ia boleh merosakkan hubungan dengan kerajaan China.

“Saya menasihatkan pihak berkuasa agar tidak terlalu agresif dan menangani perkara itu dengan cara yang lebih mesra.

“Pada masa yang sama, saya juga berharap agar netizen tidak menjadikan perkara ini sebagai isu perkauman untuk mengelakkan merosakkan keharmonian antara kaum dan juga hubungan persahabatan antara Malaysia dan China,” katanya.

Tan, yang juga ketua biro MCA mengenai hubungan China, menyatakan bahawa isteri pemilik restoran itu berasal dari China.

Dia menyamakan kertas hias dinding karikatur Mao di restoran itu dengan orang Malaysia yang memasang gambar Tunku Abdul Rahman ketika membuka restoran di luar negara.

Dia berkata, tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai agenda untuk mempromosikan ideologi tertentu.

Dia juga menekankan bahawa China dan Malaysia mempunyai hubungan ekonomi dan perdagangan yang baik.

“Dari tahun 2013 hingga separuh pertama tahun 2020, China telah melabur sejumlah RM9.1 bilion di bahagian utara Semenanjung Malaysia.

“China juga memainkan peranan aktif dalam membantu Malaysia memerangi wabak Covid-19,” katanya.

Semalam, polis menyerbu restoran Xiang Ge Li Li La Authentic Hunan di Bukit Mertajam dan menurunkan gambar latar dinding yang memaparkan lakaran menyerupai karikatur komunis.

Isteri pemilik restoran itu yang berusia 35 tahun bersama suaminya mengatakan bahawa perkataan Cina di poster itu tidak mempromosikan komunisme tetapi sebaliknya membawa slogan jenaka mengenai makanan.

Sumber: Malaysiakini

COMMENTS