Covid-19 mengganas!!!: Kenduri dan ziarah saudara punca kes meningkat

Kerajaan negeri mengesan ada individu yang pulang ke Kedah untuk menghadiri kenduri dan menziarah saudara menjadi penyebab peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, individu yang menetap dan bekerja di zon merah sepatutnya tidak pulang ke Kedah buat sementara waktu seperti disarankan kerajaan.

“Semalam, Kedah mencatatkan 47 kes positif yang kebanyakannya membabitkan Kluster Beringin dan daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes adalah disebabkan individu dari Pulau Pinang pulang ke Kedah dan menyebabkan jangkitan di Kuala Muda, Kulim, Baling dan Sik.

“Selain itu terdapat juga kes berpunca daripada individu yang pulang dari Kuala Lumpur.

Berita semasa |Tidak tahan kepanasan api,remaja batal niat bunuh diri

“Mereka di kawasan wabak, kalau boleh jangan pulang ke kampung, ada yang balik kemudian pergi kedai, pergi kenduri jumpa sanak saudara dan akhirnya menjangkiti orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya memandang serius jangkitan individu dari luar berikutan bilangan kes Covid-19 di negeri ini sudah terkawal sebelum ini.

Menurutnya, pihaknya bakal mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Covid-19 esok bagi membincangkan langkah dan cadangan yang akan dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ketika ini, terdapat juga kluster aktif lain iaitu Kluster Tembok dan Kolam apabila masing-masing mencatatkan satu kes semalam.

“Walau apapun jumlahnya, seperti yang saya sudah nyatakan sebelum ini, kita perlu menjaga diri sendiri, patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sehingga semalam, Kedah mencatatkan 47 kes baharu Covid-19 menjadikan kes aktif di negeri ini sebanyak 190 kes.

sumber- Hmetro

COMMENTS