Umno, Pas dan Bersatu ‘bermusuhan’ , PH tambah kerusi

UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri ini dinasihatkan untuk tidak terus ‘bermusuhan’ sekiranya mereka berhasrat menawan semula Selangor.

Menurut sumber, tindakan bertelagah ketiga-tiga parti itu hanya akan memberi peluang Pakatan Harapan (PH) menambah kerusi selain mengekalkan kawasan yang sedia menang.

Kata sumber, Selangor adalah antara negeri yang unik serta merupakan kubu kuat PH dan sekiranya ingin merampas semula Selangor daripada PH, ketiga-tiga parti itu perlu bergabung.

“Jika dilihat senario politik di Selangor, parti ini boleh menambah kerusi dengan mengekalkan kawasan sedia ada tetapi peluang untuk merampas agak sukar.

Baca Berita ini |‘Tugu pengkianat’ di Parlimen Ampang

“Namun, sekiranya bekerjasama dengan Pas, peluang untuk menawan Selangor cerah apatah lagi jika bergabung de­ngan Bersatu.

“Kita percaya gabungan ketiga-tiga parti ini boleh menggugat PH tetapi kesemua mereka perlu berlapang dada dan tidak mementingkan diri sendiri jika berhasrat menawan semula Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, pihaknya melihat UMNO kini telah memberi bayangan untuk tidak bersama Pas kerana parti itu sehingga kini tidak memberi kata putus sama ada mahu bersama Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN).

Berita Berkaitan |Anwar-Tun Mahathir punya hal, Mat Sabu yang kena

Menurutnya, beliau sedia maklum bahawa Pas mahu mempunyai alasan tersendiri iaitu menyatupadukan Melayu tanpa mengetepikan kaum lain.

“Bagaimanapun, UMNO kini dilihat agak terkilan dengan Pas kerana seakan-akan meninggalkan mereka untuk bersama Bersatu. Oleh demikian, pen­tingnya Pas untuk menyatakan pendirian mereka untuk mahu bersama dengan pihak yang mana.

“Jika dilihat, UMNO tidak mempunyai masalah untuk berdiri secara bersendirian ke­rana mereka mempunyai ke­kuatan akar umbi sendiri dan kekalahan pada pilihan raya lalu adalah disebabkan suatu isu yang dibawa pembangkang,” ujarnya.

sumber- Utusan

COMMENTS