“Larang jual” arak bukan “larang minum” – Faiz Fadzil

Langkah melarang penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka, tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan kata Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, setakat memahami peraturan baharu yang ditetapkan, larangan tersebut bukan bertujuan menghalang orang bukan Islam meminum arak, tetapi lebih kepada mengurus dan mengawal penjualan arak.

“Isu larangan penjualan arak di kedai runcit dan kedai serbaneka yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan adalah tidak tepat.

“Peraturan baharu ini tidak melarang seseorang meminum arak. Cuma pengurusan dan kawalan penjualan arak dihadkan di kedai-kedai tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang mendakwa peraturan baru itu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Tan berkata, dia akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon agar keputusan itu ditarik balik.

Dalam garis panduan yang dikeluarkan DBKL beberapa hari lalu, kedai serbaneka, kedai ubat tradisional Cina dan kedai runcit tidak lagi dibenarkan menjual minuman keras bermula 1 Oktober 2021.

Bir masih boleh dijual tetapi hanya dari jam tujuh pagi hingga sembilan malam

Pada masa sama, Adun Permatang Pasir itu menjelaskan, membuat suatu peraturan menyeragamkan sistem kehidupan semua warganegara adalah perlu dalam konteks kemakmukan negara.

Tegasnya, biarpun Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan menyebut: “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya”; namun, peruntukan itu adalah berkaitan perkara kepercayaan (aqidah) dan mengamalkan peraturan (ibadat) yang ditetapkan agama masing-masing.

“Ironinya, larangan meminum minuman keras dalam pemanduan tidak pula dianggap melanggar kebebasan beragama di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya orang bukan Islam langsung dilarang meminum arak, barulah boleh dianggap melanggar Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

COMMENTS