Kes culik: Enam suspek minta tebusan 2juta ditahan Polis

Polis menahan enam individu antara 1 hingga 4 Disember lalu, dipercayai ada kaitan dengan kes penculikan ahli perniagaan dan isterinya di Jitra, pada 30 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata semua suspek berusia antara 24 hingga 58 tahun diberkas hasil operasi dilakukan JSJ Bukit Aman.

“Pada jam 2 petang 30 November lalu, dua mangsa itu diculik oleh empat lelaki bertopeng dari rumah mereka di Jitra, Kedah.

“Ahli perniagaan dan isterinya ditahan oleh suspek di satu lokasi di negeri itu. Penculik meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa.

“Keluarga mangsa hanya bayar RM250,000. Pada 1 Disember lalu, dua mangsa itu dilepaskan oleh penculik setelah gagal mendapatkan baki wang tebusan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Huzir berkata, wang tebusan dan barang kemas yang diberikan kepada penculik turut dirampas, hasil tangkapan suspek berkenaan.

“Semua suspek berada dalam tahanan polis dan direman hingga 10 Disember ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

sumber- bharian.com

COMMENTS