Hang punya pasai la!!! – Sanusi Md Nor

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menggesa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) supaya tidak mengajar Kerajaan Negeri Kedah perkara yang perlu dibuat negeri itu.

Bercakap dalam sidang media mingguannya hari ini, beliau menempelak PBA agar menjaga hal sendiri dan tidak perlu masuk campur hal urusan di negeri Kedah.

Perkara itu timbul selepas Ketua Pegawai Eksekutif PBA, Jaseni Maidinsa menyifatkan penerokaan elemen nadir bumi (REE) di Kedah bakal menjejaskan bekalan air mentah kepada 4.2 juta penduduk di tiga negeri utara itu.

Ini kerana dakwanya, salah satu lokasi penerokaan tersebut adalah kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan air mentah dalam kuantiti besar kepada Perlis dan Pulau Pinang, selain Kedah sendiri.

Sehubungan itu, beliau bersuara mengkritik langkah Kedah untuk menjalankan penerokaan tersebut di kawasan yang perlu dilindungi itu dan menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan terhadap Kedah.

“Sama macam jiran kita, kita ada lampu banyak di rumah kita, jiran kita tak buka lampu, dia tumpang cahaya kita, dia buat kuih, dia suruh anak dia baca buku, dia buat mcm2 aktiviti lepas tu dia tak bagi kita tutup lampu, dia suruh kita tutup lampu ikut dia. Mana boleh lagu tu. Hang tumpang kita, tumpang cahaya lampu kita, lepas tu dia duduk habaq jangan tutup lampu lagi, buka lampu pukul 6, anak aku nak baca buku. Hang punya pasai la hang punya anak!” ujar Sanusi yang kelihatan tidak berpuas hati dengan kenyataan PBA itu.

Menurut MB Kedah itu lagi, PBA tidak berhak untuk bersuara dalam hal ini kerana syarikat itu tidak pernah membayar sumber air mentah ini kepada Kedah khususnya kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).

“Pulau Pinang dia tak bayar, tapi dia buat untung, lepas tu dia mai nak ajar kita apa yang boleh buat, apa yang tak boleh buat,” ujar beliau lagi dengan nada tegas.

COMMENTS