COVID-19 : 65 daripada 158 kluster berkaitan tempat kerja – KP Kesihatan

Sebanyak 65 kluster atau 41.1 peratus daripada 158 kluster aktif COVID-19 adalah berkaitan dengan tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 5,681 kes positif yang berkaitan kluster tempat kerja ini adalah melibatkan 3,369 atau 59.3 peratus warganegara manakala 2,312 atau 40.7 peratus bukan warganegara.

“Ini adalah hasil tindakan proaktif majikan yang turut sama menjalankan saringan COVID-19 terhadap pekerja-pekerja mereka. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat berterima kasih dan ingin menyampaikan penghargaan kepada majikan dalam bersama-sama membantu mengesan kes-kes positif di kalangan warga kerja.

Tindakan ini dapat mengekang penularan COVID-19 dalam komuniti dan seterusnya membantu KKM dalam menjalankan aktiviti kesihatan awam. Hal ini sekali gus dapat melindungi individu-individu yang berisiko tinggi, warga emas dan kanak-kanak daripada dijangkiti COVID-19,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata warga pekerja juga diseru untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan COVID-19 di tempat kerja.

“Majikan dan warga pekerja hendaklah sentiasa memastikan persekitaran tempat kerja dan kawasan guna sama (misalnya tandas, dapur dan pantri) yang bersih dan selamat bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

“Selain daripada itu, pihak majikan juga diingatkan untuk memastikan pekerja mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan di kawasan penginapan dan tempat tinggal. Didapati risiko penularan adalah tinggi bagi kawasan penginapan yang sesak dan sempit.

Mengulas mengenai empat kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata Kluster Bonggaya yang dikesan di Sandakan, Sabah membabitkan kes indeks (ke-28154) hasil saringan komuniti pada 27 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

“Saringan kontak rapat mengesan 45 lagi kes positif COVID-19 dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan.

Dr Noor Hisham berkata bagi kluster kedua iaitu Kluster Jambatan B juga di Sandakan membabitkan kes indeks (ke-20,105) hasil saringan individu bergejala pada 17 Okt lepas.

“Saringan kontak rapat dan komuniti setempat telah mengesan sebanyak 52 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah COVID-19, Dewan Kompleks Sukan Sibuga, Sandakan,” katanya.

Seterusnya, bagi Kluster Abell dikesan di Kuching, Sarawak, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan kes indeks (ke-42016) yang dikenal pasti hasil saringan kendiri pada 10 Nov.

“Saringan kontak rapat mengesan 13 lagi kes positif dan kesemua kes dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Kluster BMU pula dikesan di Jasin, Melaka dengan kes indeks (ke-45077) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 11 Nov dan seterusnya dimasukkan ke Hospital Melaka.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak sembilan lagi kes positif COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiga kluster iaitu Kluster Selasih, Kluster Bah Pengkalan dan Kluster Bah Pasir diisytihar tamat hari ini.

— BERNAMA

COMMENTS