Beri peruntukan kepada pembangkang, umpama “bunuh” BN – Tajuddin
BN tidak bersetuju ahli parlimen pembangkang diberikan peruntukan sama seperti wakil kerajaan di Dewan Rakyat sebagai balasan mereka untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata cadangan itu – jika diterima – dianggap akan “membunuh” BN secara keseluruhan.
“Kami tidak setuju, kenapa perlu beri pada mereka? Itu membunuh kami.
“Dulu semasa dia (Pakatan Harapan) memerintah, dia tak bagi kita pun (peruntukan),” katanya kepada media selepas menghadiri pertemuan ahli parlimen BN di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Tajuddin, isu itu ada dibangkitkan dalam pertemuan mereka sebentar tadi.
Pada masa sama ahli parlimen Pasir Salak itu menegaskan, BN memberi jaminan akan menyokong belanjawan kerajaan Perikatan Nasional itu.
Pembangkang sebelum ini menekankan perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence & supply agreement) untuk membolehkan mereka menyokong Belanjawan 2021.
Belanjawan itu dianggap menjadi ujian buat kerajaan PN, khususnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Dalam sistem parlimen Westminster perjanjian “keyakinan dan pembekalan” bermaksud sesebuah parti itu atau ahli palimen bersetuju menyokong undi percaya atau rang undang-undang kerajaan sedia ada, sama ada dengan pengundian memihak kepada dasar tersebut atau pun mengecualikan diri.
Ini selepas timbul desas-desus yang mempersoalkan mengenai majoriti sokongan kepada Muhyiddin di parlimen.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa pula ketika ditemui berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara serius dalam pertemuan ahli parlimen BN yang berlangsung petang ini.
“Bincang secara umum untuk memahami apa itu CSA,” kata Annuar.
Berita Penuh : MALAYSIAKINI