Gangguan bekalan air di Sungai Petani libatkan puluhan ribu pengguna

Penduduk di beberapa kawasan di Sungai Petani, Kedah dijangka menghadapi gangguan bekalan air pada hujung minggu ini berikutan kerja penukaran meter di Loji Rawatan Air (LRA).

Gangguan berkenaan dijangka melibatkan kira-kira 14,500 pemilik akaun Syarikat Air Darul Aman (Sada).

Ketua Pegawai Eksekutif Sada, Mohd Suhaimi Mohd Jusoh, berkata kawasan yang terjejas membabitkan Taman Desa Menanti, Taman Permai, Taman Industri Kemuning, Taman Bersatu, Taman Berjaya, Kampung Batu, Central Square, Taman Pekan Baru dan Taman Delima.

Katanya, Taman Arked, Taman Sinar Intan, Taman Nilam Sari, Taman Kristal, Jalan Pekan Lama, Jalan Sekerat, Taman Semarak dan kawasan sekitarnya akan turut mengalami gangguan bekalan.

“Projek berkenaan membabitkan kerja penukaran meter di Loji Rawatan Air Sungai Petani serta kerja-kerja berkaitan yang dijangka bermula pada Sabtu dari jam 10 malam hingga 10 pagi Ahad,” katanya dipetik Berita Harian hari ini.

Justeru Mohd Suhaimi menasihati pengguna di kawasan terbabit agar membuat persediaan awal dan menyimpan bekalan air secukupnya.

Mohd Suhaimi berkata, Sada juga memohon maaf di atas segala kesulitan yang bakal dihadapi semua pengguna di kawasan terbabit.

Berita Penuh : MALAYSIAKINI

COMMENTS