Dari seorang pelajar perubatan, kini usahawan cendawan

Untuk sesetengah pelajar sekolah, peluang bergelar doktor perubatan merupakan sesuatu yang mengujakan kerana bidang itu adalah kerjaya profesional yang dipandang tinggi oleh masyarakat, namun lain pula kisahnya bagi seorang anak muda dari Pulau Pinang.

Boey Tze Zhou, 31, bukan sahaja menolak tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan sebaik usai matrikulasi, sebaliknya memilih menyambung pendidikan dalam program pertanian yang menyaksikan beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian dalam bidang penyelidikan cendawan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Nyata keputusannya yang diinspirasikan oleh seorang guru sekolahnya itu tidak sia-sia kerana beliau kini boleh berbangga dengan kejayaan sebagai usahawan cendawan di bawah jenama Boey Mushroom.

“Saya ikuti pengajian dalam bidang pertanian dengan fokus kepada cendawan kerana saya mahu jadi petani tetapi tidak mahu bekerja di bawah terik matahari kerana saya tidak suka panas.

“Selepas tamat pengajian pada 2012, saya bersama seorang kawan telah memulakan perniagaan dengan menanam cendawan tiram kelabu serta cendawan tiram putih daripada benih hasil penyelidikan saya sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di Parit Haji Tahir, Jalan Bahru, di sini baru-baru ini.

Menurut penerima Anugerah Pelajaran Diraja Sultan Selangor ketika konvokesyen UPM pada 2013 itu, beliau dan pengasas bersama Boey Mushroom, Jacky Yip memulakan tanaman cendawan pada skala kecil dengan pengeluaran kira-kira 10 kilogram (kg) sehari di rumah dan kilang ayahnya di Butterworth pada tahun sama.

Katanya selepas enam bulan, pengeluaran meningkat kepada 40 kg sehari dan kini 400 kg menerusi dua ladang iaitu di Juru, Pulau Pinang dan di sini, namun masih tidak mampu memenuhi permintaan.

“Keistimewaan cendawan tiram kelabu dan putih Boey Mushroom yang dijual pada harga RM16 sekilogram ini ialah lebih tebal, besar dan kenyal serta manis, dihasilkan menerusi kaedah penanaman berinovatif tanpa gangguan cuaca dan pencemaran,” katanya, menambah perniagaan itu dimulakan dengan sumber kewangan sendiri.

Sementara itu, Yip berkata buat masa ini mereka hanya mampu memasarkan Boey Mushroom di utara Semenanjung menerusi beberapa pasar raya dan 10 pengedar, selain merancang mengeluarkan produk kerepek berasaskan cendawan pada masa akan datang.

Menurut anak jati Perak itu, kilang Boey Mushroom di sini yang dibina di atas tanah seluas 2.8 hektar turut menjual benih kepada pengusaha kecil-kecilan dan jualan cendawan secara runcit selain menerima kunjungan pelancong agro.

“Kami harap perusahaan ini dapat menjadi kebanggaan negeri Perak dengan menjadi pengeluar cendawan terkenal negara dan bercita-cita agar dapat menerima kunjungan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di kilang ini,” kata Yip.

— BERNAMA

COMMENTS