Banjir : 168 penduduk empat daerah di Perak dipindahkan ke PPS

IPOH, 20 Nov — Seramai 168 penduduk daripada 59 keluarga dari empat daerah di Perak kini ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat akibat hujan lebat semalam, demikian menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak.

Jurucakap itu memaklumkan setakat 4 petang ini, di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) seramai 55 orang dari Kampung Sungai Ara berlindung di dewan orang ramai kampung itu manakala 34 lagi ditempatkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang selepas Kampung Sungai Rentaka dinaiki air.

Bagi daerah Kerian, 61 orang berlindung di PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai yang dibuka 11 pagi ini selepas rumah mereka di Kampung Tebuk Panchur, Kampung Alor Setanggok, Kampung Tanjung Bugis serta Kampung Parit Air Itam 1 dan 2 dilanda banjir.

“Di daerah Kinta pula, terdapat 12 orang dari Kampung Sri Kinta, Lahat di sini ditempatkan di dewan orang ramai kampung itu manakala di daerah Hilir Perak sebuah PPS dibuka di dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap yang menempatkan enam mangsa dari Kampung Belakang Kilang Kacang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, dua PPS masing-masing satu di daerah LMS dan Kinta iaitu di dewan orang ramai Simpang Halt, Taiping dan dewan serba guna Batu Gajah yang dibuka semalam ditutup secara rasmi hari ini kerana banjir di kawasan berkenaan telah pulih.

— BERNAMA

COMMENTS