ATM Pertingkat Kawalan : Ancaman ceroboh, jenayah rentas sempadan

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertingkatkan kawalan persempadanan daratan yang turut membabitkan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut ditembak ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata setiap anggota yang terbabit dalam operasi kawalan persempadanan juga diingatkan untuk terus berwaspada dan meningkatkan aspek kesiagaan operasi terutama di lokasi panas dikenal pasti sebagai laluan serta lorong tikus.

“Laluan ini adalah tumpuan aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta perlu diberi perhatian atas faktor ancaman. Ia bukan sahaja mengganggu-gugat kedaulatan negara, malah risiko tindakan penjenayah yang boleh memberi ancaman keselamatan kepada anggota ATM yang bertugas.

“Mereka yang terbabit dalam jenayah rentas sempadan dan penyeludupan ini boleh bertindak di luar batasan untuk melepaskan diri daripada ditahan.

“Penjenayah juga tidak bersendirian dan berkemungkinan bernaung di bawah sindiket tertentu yang menjurus kepada aktiviti jenayah berat dan bersenjata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, aspek peningkatan keselamatan dalam operasi kawalan persempadanan bukan sahaja tertumpu kepada daratan, malah turut membabitkan persempadanan maritim negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Menjadi keutamaan ATM sebagai agensi peneraju National Task Force (NTF) bersama PDRM serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain untuk terus memperkasakan kawalan persempadanan negara melalui pelaksanaan Op Benteng.

“Ia bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan terutama membabitkan pencerobohan pendatang asing tanpa izin

“Tidak dinafikan bahawa, jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan tidak pernah berhenti tambahan dengan situasi semasa negara dan dunia menghadapi penularan wabak pandemik COVID-19,” katanya.

Affendi berkata, ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan di samping penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Katanya, kesiapsiagaan daripada segi aset dan kesediaan warga ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi supaya dapat membendung sebarang anasir asing yang cuba mengganggu gugat keamanan dan kedaulatan negara.

“Umum mengetahui, aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti penyeludupan ini turut didalangi bukan sahaja oleh penduduk setempat malah penduduk di negara jiran.

“Justeru, masyarakat harus tampil kehadapan serta turut menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan. Sebarang maklumat aktiviti jenayah rentas sempadan, mereka boleh menghubungi hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-62511223,” katanya.

— BHarian

COMMENTS