Aktif curi kenderaan dan samun jalanan, Geng Pali dicekup Polis

Kulim: Tiga suspek Geng Pali yang bergiat aktif melakukan kegiatan mencuri kenderaan di daerah ini sejak November lalu, akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, tangkapan berikutan peningkatan kes kecurian kenderaan di daerah itu.

Beliau berkata, serbuan dilakukan pasukan Operasi D9, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang membuat tangkapan terhadap dua lelaki berusia 26 dan 28 tahun berkaitan kes curi sebuah kereta Honda Civic pada 23 Disember lalu.

“Dalam serbuan itu, polis merampas kereta dicuri itu dan hasil soal siasat terhadap dua suspek berkenaan, polis menahan seorang lagi suspek berusia 23 tahun di sekitar Kulim.

“Hasil penahanan tiga individu ini, polis berjaya membongkar kegiatan curi kenderaan di sekitar Kulim,” katanya pada sidang media di IPD Kulim, hari ini.

Azhar berkata, siasatan mendapati, terdapat lebih 10 kes curi kenderaan dipercayai membabitkan ahli kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, mereka turut melakukan samun jalanan dengan menggunakan pisau dan setakat ini, mereka mengaku terbabit dalam lima kes samun jalanan di sekitar Kulim, Lunas dan Padang Serai.

“Kumpulan ini menggunakan hasil aktiviti jenayah mereka untuk membeli bekalan dadah jenis syabu.

“Kes curi kenderaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan.

“Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga 10 Januari untuk membantu siasatan,” katanya.

Azhar berkata, suspek bergerak secara kumpulan pada lewat malam dan akan mensasarkan kereta diletakkan di kawasan luar pagar rumah untuk dicuri.

Beliau berkata, semua kereta dicuri akan digunakan untuk melakukan samun jalanan dengan mensasarkan individu sedang berjalan atau berkenderaan secara sendirian.

“Kami turut merampas sebuah kereta Proton Wira dan dua kereta Honda Civic untuk membantu siasatan.

“Ketua kumpulan ini dikenali sebagai Pali mempunyai 25 rekod jenayah lampau membabitkan jenayah curi kenderaan, samun, pecah rumah dan dadah.

“Anggota Geng Pali ini masing-masing mempunyai rekod lampau membabitkan curi kenderaan dan dadah serta tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

COMMENTS