Zahid calonkan diri sebagai PM september ini dalam usul percaya

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menawarkan diri untuk mencalonkan dirinya sebagai calon perdana menteri sekiranya usul undi percaya Dewan Rakyat bulan depan berjaya gulingkan Muhyiddin Yassin, MalaysiaNow dimaklumkan oleh dua orang dalaman parti itu.

Seorang sumber kanan parti berkata Zahid mengumumkan perkara tersebut kepada ahli-ahli Parlimen Umno pada sebuah pertemuan tertutup dalam usaha meyakinkan mereka beliau tidak akan menyokong mana-mana pemimpin di luar parti Melayu itu dalam rancangan untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dari 38 ahli Parlimen Umno, hanya 15 orang daripadanya dikatakan menyokong gesaan Zahid untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sumber itu berkata Zahid berikrar meyakinkan ahli-ahli Parlimen dari GPS, PAS dan Bersatu bagi meningkatkan jumlah sokongan supaya Umno dapat “kembali menjadi pengemudi induk dalam kerajaan”, tambahnya merujuk kepada ucapan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semasa Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu.

“Inilah sebabnya mengapa pemimpin-pemimpin seperti Noraini Ahmad dan Shamsul Anuar Nasarah sanggup letakkan jawatan mereka dalam kerajaan,” kata sumber itu merujuk kepada dua menteri Umno yang berundur dari Kabinet.

“Mereka percaya Zahid akan berjaya dan mereka akan diberi kedudukan yang lebih baik dalam pentadbirannya.”

Semalam, seorang pemegang jawatan dalam PKR mendedahkan blok pembangkang di luar gabungan PH menentang sebarang percubaan untuk menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Perkara tersebut juga disahkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang mengatakan Zahid “bersumpah” untuk tidak menyokong Anwar bagi jawatan tertinggi dalam pentadbiran negara itu.

Zahid bersama bekas pemimpin Najib Razak menjadi barisan depan dalam kempen penarikan sokongan ahli Parlimen Umno terhadap kerajaan PN.

Malahan, mereka berdua juga dilihat menyokong presiden PKR sebagai perdana menteri tahun lalu melalui sebuah surat sokongan yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Zahid dan Najib berdepan pelbagai pertuduhan rasuah melibatkan dana awam dan organisasi kebajikan bernilai jutaan ringgit.

MalaysiaNow juga mendedahkan butiran terperinci pertemuan antara Zahid dan Muhyiddin dalam percubaannya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapi beliau.

Baru-baru ini, Muhyiddin turut mengesahkan pertemuan tersebut.

Namun satu lagi sumber berkata Zahid kini ragu-ragu sama ada Anwar akan dapat menggugurkan kes rasuah terhadapnya berikutan kehadiran DAP dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

“Zahid juga tahu Anwar tidak boleh buat sesuka hati bebaskan dia kerana pemimpin dalam DAP seperti Tony Pua tidak akan berdiam diri,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow.

“Maka untuk dapatkan sokongan ahli Parlimen Umno, Zahid beri jaminan kepada mereka bahawa dia akan jadi perdana menteri.”

Pua yang merupakan ahli Parlimen Damansara merupakan antara ahli Parlimen pembangkang paling lantang mengecam peranan Najib dalam skandal 1MDB.

Baru-baru ini beliau memberi amaran sebarang kekosongan kuasa disebabkan kejatuhan PN akan diisi oleh Umno, membolehkan parti itu kembali kuat dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata walaupun pembangkang mungkin mempunyai peluang terbaik untuk menjatuhkan Muhyiddin yang merupakan antara pemimpin utama yang merancang kejatuhan kerajaan PH, namun pengganti kejatuhan tersebut mungkin dari Umno.

“Dan ketika mana-mana pemimpin Umno menjadi PM, tidakkah semua kleptokrat akan dibebaskan (atau mungkin berkuasa semula)?” kata Pua yang merujuk pemimpin Umno dalam “kluster mahkamah” yang kini berdepan pelbagai pertuduhan rasuah.

Muhyiddin juga baru-baru ini memberi jaminan kedudukannya sebagai perdana menteri akan ditentukan usul undi percaya yang akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

—MalaysiaNow

COMMENTS