UPKO hantar SD sokong Anwar sebagai Perdana Menteri

UPKO hantar SD sokong Anwar sebagai Perdana Menteri

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menjelaskan pendirian menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Setiausaha Agung UPKO, Nelson W Angang, berkata satu-satunya Ahli Parlimen mewakili UPKO, Datuk Seri Madius Tangau (Tuaran) menghantar akuan bersumpah (SD) ke Istana Negara seperti ditetapkan sebelum jam 4 petang.

“UPKO konsisten dengan keputusan menyokong Ketua Pembangkang (Anwar) yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai calon Perdana Menteri baharu.

“Presiden kami, Datuk Seri Madius Tangau yang juga Ahli Parlimen Tuaran sudah menghantar SD kepada Istana Negara untuk mengesahkan sokongannya kepada Anwar,” katanya.

Beliau berkata, parti pembangkang tempatan Sabah itu membuat kenyataan sedemikian bagi menjelaskan pendirian parti jika ada pihak mendakwa perkara sebaliknya.

UPKO sebelum ini tidak menamakan mana-mana Ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri selain turut berdiam diri mengenai hasrat Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri jika mendapat sokongan tambahan Ahli Parlimen dari luar PH khususnya dari Sarawak.

Mohd Shafie bagaimanapun dilaporkan gagal mendapatkan sokongan yang diharapkan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum menyatakan pendirian turut menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri mewakili blok pembangkang.

COMMENTS