UMW Toyota henti sementara operasi kilang, jualan

UMW Toyota Motor menggantung sementara operasi pengeluaran serta penjualannya susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Jun lalu.

Presidennya, K Ravindran, berkata beberapa minggu akan datang menjadi tempoh mencabar kepada semua dalam mengekang pandemik daripada terus menular.

“Kami telah menangguhkan sementara semua perkhidmatan tidak penting. Dalam masa sama, kami faham dalam keadaan tidak menentu ini, kami tetap boleh membantu dan menyediakan sokongan.

“Untuk itu, kami akan tetap ada sekiranya kenderaan anda rosak atau dalam kecemasan dan memerlukan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ravindran berkata, UMW Toyota Motor juga melanjutkan tempoh jaminan sedia ada yang akan tamat dalam tempoh sekatan pergerakan penuh selama 30 hari.

“Tidak lupa juga, semua kenderaan yang dibeli daripada UMW Toyota Motor atau pengedar sah kami dengan jaminan sedia ada yang sah serta akan tamat di dalam tempoh sekatan pergerakan penuh ini, anda akan menikmati lanjutan tempoh berkenaan selama 30 hari, yang akan dikira dari hari terakhir sekatan pergerakan penuh ini,” katanya.

Baru-baru ini, UMW Toyota Motor ini mengumumkan jualan kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia terus menunjukkan corak peningkatan dengan 7,595 unit terjual sepanjang Mei 2021, meningkat 120 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah berkenaan dipacu terutamanya oleh model seperti Vios sedan yang menyumbang 32 peratus daripada jumlah jualan, diikuti Yaris hatchback lima-pintu (25 peratus) dan trak pikap Hilux (21 peratus) bagi jualan Mei 2021.

Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, berkata pertumbuhan jualan positif yang dicatatkan itu menjadi petunjuk jelas kepada keyakinan pelanggan dan mereka juga berlumba untuk memanfaatkan penjimatan tambahan daripada pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kini telahpun di lanjutkan hingga 31 Disember 2021.

“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana telah mengambil beberapa langkah melindungi Malaysia daripada ancaman pandemik dan memperkenalkan dasar kewangan serta industri.

“Ini termasuklah lanjutan pengecualian SST yang kami percaya akan terus menyumbang di dalam memulihkan keyakinan membeli dalam kalangan pelanggan,” katanya.

–BH

COMMENTS