Agong zahir pandangan Parlimen perlu bersidang segera

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Jelas Ahmad Fadil lagi, Al-Sultan Abdullah amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu paltform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.

Terdahulu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu atas inisiatif Al-Sultan Abdullah diadakan bagi membincangkan usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Kesemua Raja-Raja Melayu hadir kecuali Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Sultan Kelantan Sultan Muhammad V difahamkan tidak menghadiri sesi kali ini.

Perbincangan khas itu berlangsung kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ia merupakan kali kedua perbincangan khas seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019.

COMMENTS