PANAS | Sidang Parlimen perlu dibuka 19 Julai elak krisis perlembagaan

Veteran DAP. Lim Kit Siang mencadangkan agar Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin memanggil sidang Parlimen segera dengan memberikan notis 28 hari esok bagi membolehkan siding bermula 19 Julai ini bagi mengelakkan krisis perlembagaan.

Menurut ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, hanya dengan memberikan notis esok, Ahad 20 Jun sahaja, Parlimen boleh bersidang selama 10 hari mulai 19 Julai nanti agar sidang Parlimen boleh menyelesaikan urusannya sebelum 1 Ogos 2021 di mana perisytiharan Darurat akan tamat.

Menurut beliau, melalui notis pada 20 Jun, Dewan Rakyat boleh bersidang selama 10 hari mulai 19 – 30 Julai 2021 dengan memenuhi notis 28 hari yang diperlukan.

“Sidang ini perlu untuk memenuhi titah Yang Dipertuan Agong agar Parlimen bersidang untuk membolehkan Ahli Dewan Rakyat membincangkan Darurat dan juga Pelan Pemulihan Nasional,” kata Kit Siang dalam kenyataannya pagi ini.

Menurut beliau, sehingga kini hanya pemimpin kerajaan dari Pas sahaja yang membantah agar Parlimen bersidang segera dengan berkata ia boleh bersidang September atau Oktober ini sebagaimana yang dinyatakan Perdana Menteri dalam Pelan Pemulihan Nasional.

“Selain dari pemimpin Pas, tidak ada pihak lain yang mempertikaikan titah Yang Dipertuan Agong agar Parlimen bersidang segera. Kenapa ye,” tanya Kit Siang, antara ahli Parlimen yang paling lama yang masih berkhidmat di negara ini.

Menurut beliau, ini bukan kali pertama Yang di Pertuan Agong mengatakan bahawa Parlimen harus bersidang walaupun dalam keadaan darurat.

Ini kerana Yang di Pertuan Agong telah menyatakan pandangan ini ketika bertemu Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan juga Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada bulan Februari.

“Sangat mengejutkan apabila melihat para Menteri Pas berusaha memperlecehkan makna “segera” untuk memberikan justifikasi sidang boleh dibuat September atau Oktober di bawah Fasa Tiga Pelan Pemulihan Nasional,” kata beliau.

SUMBER

COMMENTS