Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai ini, 5 perkara anda patut tahu

Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai ini, 5 perkara anda patut tahu

SIDANG Khas Parlimen bakal diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini.

Ia setelah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bahawa tentang mustahaknya diadakan mesyuarat khas tersebut bagi faedah orang ramai.

Berikut merupakan lima perkara anda perlu tahu mengenai Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021:

1) Apakah perbezaan antara Sidang Khas Parlimen berbanding Sidang Biasa Parlimen?

• Secara amnya, tempoh persidangan setiap tahun Parlimen dikenali sebagai Penggal Parlimen.

• Tempoh penamatan Penggal Parlimen pula dikenali sebagai Prorog, yang mana Sidang Parlimen diprorog ke Penggal Parlimen yang baharu.

• Persidangan Majlis dalam sesuatu Penggal Parlimen dikenali sebagai Mesyuarat.

• Peraturan Mesyuarat 11(3) menyatakan sekiranya Perdana Menteri memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan akan isu yang mustahak ataupun mempunyai faedah kepada orang ramai, satu Mesyuarat ataupun Sidang Khas perlu diadakan sekiranya Majlis berada dalam tangguhan iaitu sebelum Dewan diprorog.

• Sidang Khas Parlimen ini berbeza dengan Sidang Biasa Parlimen kerana ia mesti diadakan lebih awal dari Sidang Biasa Parlimen yang telah ditetapkan tarikhnya oleh Takwim.

• Sidang Khas Parlimen juga tiada tempoh Pemberitahuan/Notis berbanding dengan Notis 28 Hari bagi Sidang Biasa Parlimen

2) Apakah perbezaan Aturan Urusan Mesyuarat diantara Sidang Khas Parlimen berbanding Sidang Biasa Parlimen?
• Peraturan Am 11(3) menyatakan bagi Sidang Khas Parlimen, Perdana Menteri akan menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat mengikut budi bicara beliau.

3) Bolehkan Ahli Parlimen membawa usul ke dalam Dewan untuk dibahaskan, dan adakah ia akan ditolak ataupun diterima?

• Mengikut Peraturan Am 11(3), Perdana Menteri telah menetapkan Aturan Urusan Mesyuarat yang hanya akan melibatkan:

o Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat.

o Pembentangan Proklamasi Darurat (2) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai Pilihan Raya Kecil Parlimen Gerik serta Pembentangan Proklamasi Darurat (3) bertarikh 12 Disember 2020 mengenai

Pilihan Raya Kecil N66 Bugaya, Sabah.

o Penerangan Menteri-Menteri di bawah Peraturan Am 14(1)(i).

4) Bolehkah Ahli Dewan membahaskan perkara-perkara yang dibentangkan dalam Sidang Khas Parlimen ini?

• Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat bagi Sidang Khas ini bermaksud dokumen-dokumen tersebut diletak di atas meja, bukan untuk dibahaskan dan diundi.

• Di dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, perkataan Bahasa Inggeris bagi terma Pembentangan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat adalah “laid”, (laid before both Houses of Parliaments) dan bukannya “tabled”, jika “tabled” barulah untuk dibahas dan diundi.

5) Bolehkan ahli-ahli Dewan bertanyakan soalan semasa sesi Penerangan Menteri-Menteri?

• Ahli-ahli Dewan boleh bertanyakan soalan hanya selepas Menteri selesai setiap sesi Penerangan dan terhad kepada isu merangkumi Penerangan Menteri.

⇨ Dalam masa Penerangan Menteri-Menteri dibentangkan, Yang Di Pertua Dewan mempunyai budi bicara untuk membenarkan sama ada soalan-soalan ataupun perbahasan dalam topik yang dibentangkan.

COMMENTS