Persatuan Pemandu Teksi terharu dengan keikhlasan Dato’ Mahfuz

ALOR SETAR – Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Mahfuz Omar yang juga merupakan penyandang ahli Parlimen Pokok Sena selama empat penggal hari ini turun mendengar rintihan pemandu-pemandu teksi di sekitar bandar Alor Setar.

Naib Presiden Amanah itu hadir awal pagi tadi di Terminal Teksi Shahab Perdana setelah dihubungi oleh Setiausaha Persatuan Pemandu Kereta Sewa Bandaraya Alor Setar (PERKASA). Dimaklumkan PERKASA mempunyai 50 orang pemandu teksi yang berdaftar secara sah.

Suasana di perkarangan Terminal Teksi Shahab Perdana pagi tadi kelihatan lengang tanpa kehadiran penumpang-penumpang bas ekspress yang kebiasaannya akan menjadi penumpang kepada pengusaha-pengusaha teksi yang mencari nafkah di sekitar bandar Kota Setar.

Dengan situasi PKPD dan PKP (total lockdown) yang akan dikuatkuasakan dari 1 Jun sehingga 14 Jun 2021, pendapatan pemandu teksi dilihat semakin tenat.

“Sekarang nak dapat penumpang seorang pun susah, datang dari pagi sampai petang pun tak ada penumpang.

“Satu hari datang dari rumah modal minyak dalam RM20 ringgit, tapi balik dengan tangan kosong. Kalau nanti total lockdown macam mana kami nak tampung kos sara hidup?” rungut Hussin Mahmood, 70 tahun.

Kunjungan Dato’ Mahfuz pagi tadi turut disambut oleh Persatuan Pemilik-Pemilik Kereta Sewa Shahab Perdana (PERDANA) dan wakil pemandu teksi Pekan Rabu.

Menurut Dato’ Mahfuz, beliau berharap pihak Majlis Bandaran Alor Setar supaya dapat menangguhkan bayaran sewa tapak Terminal Teksi Shahab Perdana kerana semua pengusaha mengalami kesukaran kewangan yang kritikal pada ketika ini.

“Saya berharap semua pihak yang terlibat dan kerajaan negeri Kedah segera turun meninjau nasib pemandu-pemandu teksi di negeri Kedah”,

“Pihak berkuasa tidak boleh menunggu rakyat yang susah untuk pergi kepada mana-mana pejabat kerajaan untuk mohon bantuan, kerajaan boleh sahaja menghubungi persatuan untuk dapatkan maklumat untuk memudahkan proses bantuan”

“Jangan tunggu orang datang minta sedekah” ujar Dato’ Mafuz Omar.

Dato’ Mahfuz Omar juga sempat memberikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 70 orang pemandu teksi yang ada di Terminal Teksi Shahab Perdana. Sumbangan wang tunai juga turut diberikan kepada dua persatuan pemandu teksi bagi menampung kos operasi.

Dalam kunjungan itu juga, Dato’ Mahfuz Omar telah dilantik menjadi Penaung Persatuan Pemandu Kereta Sewa Bandaraya Alor Setar (PERKASA) bagi sesi 2021/2022.

COMMENTS