Pensyarah UUM mesra Pas tuduh Steven Sim ada “agenda Kristian”

Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menyatakan rasa sedih kerana ikhriar kerja kebajikannya telah berubah menjadi isu perkauman dan agama.

Ini selepas pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff menyenaraikan pelbagai kerja amal Sim dan memberi peringatan kepada umat Islam supaya berhati-hati menerima bantuan daripada “mubaligh Kristian”.

“Saya seorang wakil rakyat, tugas saya untuk membantu rakyat susah di kawasan saya tanpa mengira kaum dan agama.

“Kadang kala, orang susah luar kawasan datang, saya tak sampai hati nak tolak, saya bantu juga sedaya upaya setakat yang mampu.

“Saya bantu bukan kerana saya hebat atau kaya – ramai lagi yang jauh lebih hebat dan pandai daripada saya. Jauh sekali keluarga saya boleh dianggap sebagai kaya.

“Tapi semua ini saya buat demi menunaikan amanah berat yang telah diberi,” katanta pada hantaran di Facebook.

Kata Sim, dia membantu sesama insan tanpa memilih orang Cina atau Melayu.

“Orang yang saya bantu, ada Cina, Melayu, India, bahkan kawan-kawan di Sabah Sarawak sana.

“Saya tak dapat post semua aktiviti bantuan di sini (laman FB), tapi saya tak pernah tanya orang yang dibantu itu kaum apa, agama apa, parti politik apa.

“Ada yang kata saya ada agenda agama. Mengapa perlu libatkan agama saya?

“Bagiku agamaku, bagimu, agamamu. Harapan saya ialah, yang Islam jadi Muslim yang lebih baik, yang Kristian jadi Kristian yang lebih baik, yang Buddha jadi Buddha yang lebih baik, yang Hindu jadi Hindu yang lebih baik, kita semua jadi manusia yang lebih baik, nescaya Malaysiaku aman sentosa,” katanya lagi.

Sim mempersoalkan mengapa ada pihak yang mahu memecahbelahkan rakyat Malaysia dengan memupuk sentimen perkauman dan agama.

Dia berkata rakyat sudah cukup menderita akibat wabak Covid-19.

“Mengapa mereka bersungguh-sungguh nak pecah-belahkan rakyat Malaysia? Mengapa perlu api-apikan sentimen kaum dan agama,” soalnya.

Jelas Sim, dia amat terkesan dengan tuduhan terhadapnya itu.

“Saya tetap akan bantu semua tak kira kaum dan agama. Ini ikrar saya dulu semasa dipilih sebagai wakil rakyat,” katanya.

Lim mengakhiri hantarannya di media sosial dengan serangkap pantun:

“Memanah bintang di malam gelita,

sebutir terjatuh menjadi batu,

amanah ku tatang dengan air mata,

khuatir membela diri di hari itu.”

Kamarul sebelum ini pernah menyasarkan pemimpin DAP yang lain disebabkan keyakinan agama mereka.

Pada tahun 2017, dia membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Kamarul menuduh Yeoh cuba memurtadkan umat Islam kerana menukilkan kepercayaannya dalam buku biografinya,’Becoming Hannah’. – MK

COMMENTS