Pecah tabung masjid, 2 lelaki ditahan di Yan

Dua lelaki gagal melarikan wang tabung Masjid Al-Hadi, Bukit Besar dekat sini apabila mereka ditahan ahli jawatan kuasa masjid itu, awal pagi semalam.

Suspek berusia 26 tahun dan 27 tahun itu ditahan selepas diperangkap oleh beberapa ahli jawatan kuasa masjid tersebut kira-kira pukul 2.08 pagi.

Ahli jawatan kuasa masjid berkenaan dikatakan ‘memasang perangkap’ dengan memantau rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada waktu tersebut ekoran berlaku beberapa kes kecurian tabung sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, pihak masjid itu berdepan dengan lebih lima kes kecurian wang di dalam tabung.

“Sejak beberapa malam lalu, pentadbiran masjid mengambil langkah membuat kawalan dan pemerhatian menerusi rakaman CCTV dalam usaha menangkap pencuri.

“Selepas menunggu hampir dua jam pada awal pagi semalam, dua lelaki dikesan memasuki masjid sebelum dilihat cuba memecah sebuah tabung menggunakan sebatang besi,” katanya di sini hari ini.

Katanya, beberapa ahli jawatan kuasa masjid kemudian bertindak mengejar dan mengepung suspek yang cuba melarikan diri sebelum menahan mereka.

“Pihak masjid kemudian menghubungi polis sebelum anggota ke lokasi untuk membuat tangkapan dan menemukan sebatang besi serta wang tunai berjumlah RM21 daripada suspek.

“Dua lelaki itu yang mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Yan,” ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua suspek berasal dari Kampung Bukit Besar dan Kota Sarang Semut dekat sini didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka ditahan reman empat hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh,” ujarnya.

– UTUSAN ONLINE

COMMENTS