Parti politik akui wujud isu sistemik, Umno, PKR, dan DAP sama saja – Zaid Ibrahim

Sudah tiba masanya parti politik mengakui wujudnya isu sistemik yang serius di negara ini dan memberi komitmen untuk melakukan perubahan, kata bekas ahli politik Zaid Ibrahim.

Zaid berkata, adalah melucukan apabila orang ramai sering menyatakan Umno dan Barisan Nasional, yang memerintah negara ini selama enam dekad, mesti berubah.

“Seolah-olah mereka tidak perlu (berubah). Perubahan di sini bermaksud menerima perubahan dasar pada sistem dan cara kerajaan dijalankan,” kata Zaid, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) semasa pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman berbeza setelah berkhidmat dengan beberapa parti politik termasuk Umno, PKR, dan DAP, Zaid berkata, terdapat persamaan antara tiga parti utama itu.

“Pada asasnya, ketiga-tiga parti itu sama sahaja. Mereka suka berkuasa, suka meraih kuasa, dan apabila menang, mahu kekal berkuasa.

“Ini menyukarkan usaha membawa perubahan sebenar pada negara ini. Jadi dari segi, saya rasa, masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.

berita semasa | Bekas Ketua Polis Negara nafi sokong buku Tommy Thomas

Umno ‘kalah’, tetapi bukan tidak relevan

Zaid juga menyentuh tentang Umno, parti yang dianggotainya selama 23 tahun sehingga beliau disingkirkan kerana perbezaan pandangan.

Katanya, walaupun Umno kehilangan arah, namun parti itu bukan tidak relevan. Kestabilan politik negara sukar dicapai selagi Umno, sebagai parti Melayu terbesar di negara ini, tidak memainkan “peranan yang sepatutnya”.

Walaupun ia gagal menyatukan rakyat Malaysia atau membendung rasuah di peringkat tertinggi, realitinya Umno mempunyai beberapa individu yang baik dalam barisan kepimpinannya.

“Hanya kerana sebilangan pemimpin berdepan kes mahkamah tidak bererti seluruh parti itu tercemar dan hanya kerana pemimpin parti lain tidak didakwa, tidak bermakna mereka bersih.”

berita semasa | Ketua UMNO Bahagian rayu Agong bubar Kabinet Muhyiddin

Beliau berkata, buku Umno yang diterbitkan pada 1965 berjudul “Revolusi Mental” adalah pembuka mata kepada banyak orang muda Melayu seperti beliau.

“Mereka tidak berpegang pada bukunya sendiri, yang ditulis pada 1965, iaitu Revolusi Mental. Umno ketika itu menggesa orang Melayu mendapatkan pendidikan, berpegang kepada sains, rasional dalam kelakuan dan pemikiran – semua ciri-ciri yang perlu untuk berjaya.

“Umno sepatutnya menjadi penyatu perdana, sesuatu yang hanya boleh dilaksanakan oleh sebuah parti berteraskan Melayu,” katanya, dengan menambah bahawa peranan parti itu dalam membangunkan negara selama ini tidak boleh dinafikan.

Zaid berkata, walaupun tidak adil beliau dipecat kerana pandangannya yang berbeza, namun beliau gembira parti itu sekarang sangat toleran terhadap beberapa pemimpin yang secara terbuka menentang dan mencabar kepimpinan parti.

Mengenai sama ada beliau mahu kembali semula ke arena politik, Zaid berkata, ia tidak mungkin terjadi, walaupun beliau masih berminat dengan isu politik dan nasional.

“Kos politik sangat tinggi untuk saya dan keluarga, tetapi saya akan tetap dekat dengan rakyat dan akan terus bersuara dan menulis tentang apakah yang baik bagi mereka.”-FMT

COMMENTS