“Pancing ikan guna umpan, pancing orang guna wang” – Zahid Hamidi

Mengulas kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang membenarkan aktiviti rekreasi memancing, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia hanya memancing ikan dan tidak memancing orang menggunakan wang.

“Mungkin ramai tidak tahu, saya juga seorang kaki pancing dan saya mengesahkan saya cuma pancing ikan.

“Saya tidak pancing orang. Pancing ikan guna umpan. Pancing orang guna wang. Tak bagus,” tulis Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Kenyataan itu hadir ketika hubungan Umno dan Bersatu dilihat keruh.

Pada 4 Feb lalu, Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk mendakwa dia dan beberapa ahli Parlimen Umno yang lain hanya mendapat peruntukan RM100,000 bagi kawasannya, sama seperti wakil rakyat pembangkang.

Presiden Umno itu berkata, kawasan Parlimennya hanya mendapat RM100,000 setahun untuk 2021, berbeza dengan ahli parlimen lain dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat RM3.7 juta setahun.

Beliau mendakwa Ahli Parlimen Umno lain yang senasib dengannya ialah Ahmad Maslan (Pontian), Najib Razak (Pekan), Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang).

“Alhamdulillah dapat RM100,000, cukuplah untuk bahagian Bagan Datuk, bahagian paling mundur di Perak,” kata Ahmad Zahid seperti dilaporkan media.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata “kaki pancing” pasti bersyukur dengan prosedur operasi standard (SOP) baru dikeluarkan kerajaan membenarkan aktiviti memancing.

“Seronok betul kaki pancing apabila kerajaan umum aktiviti memancing dibenarkan bermula semalam.

“Dalam tidak sedar memancing merupakan aktiviti yang sihat untuk fizikal dan mental.

“Memancing mampu merendahkan tahap stres dan menjadikan seseorang makin cergas,” katanya lagi. – MD

COMMENTS