Nazri ‘sound’ Zahid kerana masih main wayang hingga buruk imej Umno

Nazri ‘sound’ Zahid kerana masih main wayang hingga buruk imej Umno

Dua orang pemimpin Umno berkata presiden parti Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab ke atas kemarahan yang meningkat terhadap ahli parti itu yang menganggotai Jemaah Menteri pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz dan seorang lagi pemimpin parti itu berkata ini kerana Zahid tidak mengarahkan ahli parti dalam Jemaah Menteri untuk meninggalkan kerajaan yang kini berdepan kritikan hebat terhadap caranya mengendalikan krisis Covid-19 dan ekonomi.

Zahid sebelum ini cuba mempertahankan Umno, dengan berkata parti itu tidak sepatutnya dipersalahkan atau dikaitkan dengan kegagalan kerajaan, kerana ia tidak terlibat dalam keputusan berkaitan mana-mana dasar negara.

Bagaimanapun, ada yang mempertikaikan orang Umno sepatutnya dipersalahkan dalam situasi Covid-19 yang semakin memburuk, program vaksinasi yang perlahan, dan sekatan yang tidak dirancang dengan sempurna.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin adalah semua ahli Umno.

Nazri memberitahu FMT, beliau tidak bersetuju menteri dari Umno tidak patut dipersalahkan atas kegagalan kerajaan kerana keputusan Jemaah Menteri dibuat secara kolektif.

Bagaimanapun, kata beliau, rakyat tidak boleh dipersalahkan menuduh Umno dan menteri-menterinya, kerana bukan semua orang tahu bagaimana keputusan kerajaan dibuat.

“Jika ada sesiapa yang boleh dipersalahkan, orangnya adalah Zahid. Beliau tidak boleh salahkan rakyat marah dengan menteri Umno kerana beliau sendiri tidak mengarahkan (menteri-menteri berkenaan) keluar daripada Jemaah Menteri.”

Pada perhimpunan agung Umno Mac lau, Zahdi diberi mandat untuk memutuskan sama ada parti itu akan menarik balik sokongan terhadap kerajaan.

“Ini termasuk mengarahkan menteri-menteri Umno keluar daripada kerajaan.

“Kegagalan beliau berbuat demikian menunjukkan kepemimpinannya yang lemah dan pengecut,” kata Nazri.

Beliau berkata, inilah sebabnya Umno perlu mengadakan pemilihan parti secepat mungkin kerana parti itu tidak lagi mampu diterajui “kepimpinan seperti itu”.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin tertinggi Umno. yang tidak mahu dinamakan, berkata, beliau risau kemarahan yang meningkat terhadap kerajaan akan memberi impak kepada parti.

“Zahid mesti berani dan arahkan mereka berhenti (daripada kerajaan). Mungkin beliau takut menteri-menteri Umno tidak akan dengar cakapnya, dan ini akan lebih menunjukkan kelemahan beliau,” kata pemimpin yang tidak ingin dinamakan itu.

“Namun, (ini bermaksud) Umno yang akan menanggung akibat kelemahan kepemimpinannya. Jika rakyat marah dengan kerajaan, kita akan turut terkait.

Katanya, parti itu memerlukan kepimpinan yang lebih tegas sekiranya mahu menang pada pilihan raya akan datang.

“Kita tidak boleh, dan tidak patut tunda pemilihan parti. Keadaan akan jadi lebih buruk kalau kita terus begini.

“Rakyat akhirnya akan membenci kita,” katanya.

FMT

COMMENTS