Najib “perli” kerajaan PN, buat “lockdown” tapi “traffic jam” merata tempat!

Kenderaan masih banyak di jalan raya, menyebabkan kesesakan, walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh mula berkuat kuasa di seluruh negara hari ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan mengapa kenderaan masih berpusu-pusu di atas jalan raya pagi ini.

“Kata ‘total lockdown’ tapi kenapa pula ada ‘traffic jam’ di merata tempat pagi ini?” soalnya di Facebook.

Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (ITIS DBKL) turut melaporkan kesesakan trafik di bandar itu, terutamanya sepanjang Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban dan Jalan Genting Klang.

Laporan mengenai kesesakan trafik, yang tular di media sosial, turut menimbulkan kebimbangan orang ramai, memandangkan perjalanan merentas daerah dan negeri dilarang.

Pengguna Facebook, Mohd Zamri berkata, sekatan jalan raya (SJR) yang lebih ketat mungkin menjadi punca kesesakan.

Seorang lagi pengguna Facebook, Fawwaz Raidi, berkata ‘lockdown’ tidak akan berkesan jika banyak sektor pembuatan masih dibenarkan beroperasi.

‘Total lockdown’ di seluruh negara, mirip perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama, akan berkuat kuasa hingga 14 Jun.

Dalam tempoh itu, hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi. SUMBER

COMMENTS