Kerjasama ‘orang dalam’? lima syarikat telco disiasat

Dianggarkan hampir 100 syarikat penyedia kandungan dikesan melakukan jenayah ‘menyedut’ kredit prabayar milik pengguna telefon bimbit menyebabkan mangsa kerugian hampir RM100 juta sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan syarikat ini aktif ‘mencuri’ wang milik pengguna talian prabayar hasil kegiatan membeli data peribadi pengguna dengan menyogok kakitangan syarikat telekomunikasi (telco) tempatan.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kepada Harian Metro, syarikat ini akan menghantar pelbagai kandungan mesej melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit pelanggan talian prabayar sebelum mangsa dikenakan caj antara 50 sen hingga RM5 bagi setiap penghantaran ‘sampah.’

Menurutnya, ramai pakar teknikal dan ‘orang penting’ syarikat telco yang dikesan bersekongkol dengan menjual data peribadi milik pelanggan berdaftar talian prabayar.

“Jika diambil kira jumlah kerugian pengguna prabayar di negara ini susulan aktiviti haram dikesan, SPRM menganggarkan ia mencecah RM100 juta jika mengambil kira peratusan keuntungan diperoleh telco dan syarikat penyedia kandungan ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan SPRM sejak bulan Mac lalu mendapati penipuan terancang ini membabitkan kerja ‘orang dalam’ telco yang memegang pelbagai jawatan penting.

“Antara jawatan yang dikenal pasti menerima rasuah ini adalah pengurus proses pembayaran, bajet koordinator, penyedia kandungan eksklusif, penyedia tadbir urus, pengurus produk dan ketua projek dan pelbagai jawatan penting lain.

“Berdasarkan siasatan, mereka ini bersekongkol dengan syarikat penyedia kandungan yang memberikan rasuah bagi mendapatkan data sulit pelanggan telco.

 

 

“Syarikat penyedia kandungan ini adalah syarikat berasingan yang dikesan membayar wang rasuah kepada ‘orang dalam’ tertentu di telco dengan bayaran antara RM100,000 hingga RM200,000 seorang.

“SPRM percaya jumlah keseluruhan rasuah yang sudah diberikan kepada kakitangan telco mencecah puluhan juta ringgit sejak kegiatan ini bermula hampir 10 tahun lalu,” katanya.

“Setakat ini lima telco sudah disiasat dan siasatan menyeluruh akan dilakukan terhadap lebih banyak syarikat komunikasi yang diyakini bersekongkol dengan syarikat penyedia kandungan ini,” katanya.

Menurutnya, kakitangan bahagian teknikal dan aduan telco menjadi tumpuan ‘syarikat jahat’ ini berikutan mereka mempunyai akses untuk membocorkan data dan maklumat sulit pelanggan.

“Berdasarkan maklumat sulit diperoleh ini, syarikat penyedia kandungan akan menghantar mesej pelbagai kandungan SMS ke telefon bimbit pelanggan talian prabayar ini.

“Terdapat caj tersembunyi pada setiap mesej dihantar. Kredit prabayar akan ditolak sehingga RM5 ringgit bagi setiap ring tone (nada bunyi), wallpaper dan permainan interaktif dihantar kepada pelanggan ini. Terdapat juga situasi pelanggan dikenakan caj tanpa menerima apa-apa kandungan,” katanya.

 

Sumber : HMetro

COMMENTS