Lima lagi kawasan di Perak, Sabah dikenakan PKPD

Lima lagi kawasan baharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu masing-masing dua di Ipoh dan Sandakan manakala satu di Lahad Datu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata di Ipoh, PKDP dikenakan di Zon A Taman Klebang Jaya dan Taman Pinji Mewah bermula esok hingga 14 Dis berikutan peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan pekerja Kilang Kamaya dan Kilang Salutica.

Katanya, berdasarkan penilaian risiko yang dilaksanakan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan jangkitan COVID-19 melibatkan pekerja di kedua-dua kilang itu merebak ke kawasan tempat tinggal mereka.

“Sehingga kini, kesemua 1,402 pekerja Kilang Kamaya disaring dan jumlah kumulatif kes positif yang direkodkan adalah sebanyak 228 kes dan daripada jumlah itu 110 kes positif direkodkan melibatkan pekerja yang tinggal di Zon A Taman Klebang Jaya, Ipoh.

“Sementara, hasil 737 ujian saringan dilaksanakan dalam kalangan pekerja di Kilang Salutica, 119 kes positif direkodkan dan 618 saringan masih menunggu keputusan. Daripada jumlah itu, 89 kes positif melibatkan jangkitan pekerja yang tinggal di Taman Pinji Mewah,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPD di Zon A, Taman Klebang Jaya itu akan melibatkan 1,061 rumah dengan jumlah penduduk seramai 4,244 orang manakala di Taman Pinji Mewah membabitkan 1,430 rumah dan 44 unit kedai/pejabat dengan jumlah penduduk 5,720 orang.

Di Lahad Datu, Sabah, PKPD akan dikenakan bermula 2 hingga 15 Dis di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru membabitkan 914 rumah dengan jumlah seramai 4,934 penduduk.

Menurut beliau, sehingga kini, KKM melaksanakan 665 ujian saringan dan 90 kes kumulatif COVID-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti tersebut.

Ismail Sabri berkata tempoh pelaksanaan PKPD yang sama dikenakan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan dengan melibatkan 1,209 individu terdiri daripada 1,104 tahanan dan 105 kakitangan.

Pelaksanaan PKPD itu bagi membolehkan KKM terus melaksanakan saringan secara bersasar kepada semua tahanan dan kakitangan di pusat tahanan sementara berkenaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD di Putra Point Nilai, Negeri Sembilan yang dilaksanakan sejak 28 Okt ditamatkan hari ini seperti dijadualkan berikutan KKM mengesahkan tiada lagi kes baharu positif COVID-19 dikesan dalam masa empat hari terakhir.

Pada masa sama, beliau berkata PKPD di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al Yahyawiyah, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak yang bermula 8 Nov lepas, ditamatkan lebih awal hari ini, berbanding pada 5 Dis seperti dijadualkan.

Selain itu, katanya PKPD di asrama pekerja Top Glove yang sepatutnya tamat hari ini, dilanjutkan hingga 14 Dis kerana masih terdapat kes baharu positif yang dikesan dalam kalangan pekerja melalui ujian saringan kedua.

Ismail Sabri berkata sehingga kini, KKM melaksanakan sebanyak 5,805 saringan terhadap pekerja di kilang terbabit dan merekodkan 3,406 kes positif COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berkata KKM mendapati kes yang negatif dalam kluster berkenaan masih berisiko dan ujian saringan kedua sedang diteruskan.

Katanya, kesemua pekerja kilang diwajibkan menjalani saringan COVID-19 yang dijalankan oleh klinik swasta serta dipantau dan diselia oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Selangor.

“Dakwaan mengatakan ada kerjasama antara KKM dan Top Glove yang membenarkan pekerja disaring supaya bekerja seperti biasa, perkara itu tidak benar.

“Orang ramai di sekitar kilang tidak perlu rasa bimbang kerana tidak ada pekerja yang dilepaskan untuk berada berada dalam komuniti,” katanya.

— BERNAMA

COMMENTS