Bapa dirikan khemah di atas bukit untuk anak belajar

Seorang bapa di Bukit Petai Tujuh dekat sini bertindak mendirikan sebuah khemah di atas bukit setinggi kira-kira 20 meter bagi membantu anaknya mengikuti pengajian dalam talian, berikutan capaian Internet dan kemudahan telekomunikasi yang tidak memuaskan di kawasan itu.

Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi, 20, pelajar Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata sebelum ‘kelas’ itu didirikan oleh bapanya Mohd Azmi Ahmad, dia terpaksa ke bandar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya untuk mendapat akses Internet bagi mengikuti pengajian.

“Namun, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 21 Nov lepas, saya tidak dapat ke bandar dan ayah mengambil keputusan untuk mendirikan khemah itu untuk saya,” katanya kepada pemberita di rumahnya hari ini.

Mohd Azmi, 48, membina khemah itu pada hari pertama pelaksanaan PKPB selama dua minggu di Kelantan.

Bagi memastikan keselesaan anaknya yang merupakan penuntut tahun dua jurusan Teknologi Makmal Perubatan mengikuti sesi pembelajaran, Mohd Azmi melengkapi khemah itu dengan kerusi dan meja.

Nurlieda Khaleeda berkata hampir setiap hari dia menggunakan ‘kelas’ itu yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya, kecuali pada waktu malam kerana bimbang dengan keselamatannya yang terdedah kepada ancaman haiwan berbisa seperti ular.

“Lebih merisaukan saya ketika ini kerana sedang menduduki peperiksaan yang bermula 23 Nov hingga 3 Dis ini. Saya perlu menggunakan kamera telefon bimbit bagi memudahkan pensyarah memantau.

“Saya rasa agak tertekan dengan rangkaian Internet di kampung ini yang kadangkala ada kadangkala tiada sehingga menyukarkan saya untuk menjawab peperiksaan, malah masa dua jam diberikan tidak cukup disebabkan gangguan liputan talian. Jika talian Internet terputus, saya terpaksa menjawab semula soalan dan tiada masa tambahan diberikan,” luah anak sulung daripada lima beradik itu.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata dia akan menemani anaknya di khemah itu hingga selesai sesi pembelajaran atau peperiksaan.

“Tambahan pula pada ketika ini setiap hari hujan, khemah ini tidak selesa namun tiada pilihan untuk masa depan anak saya dalam pendidikan. Masalah ini bukan hanya dihadapi oleh anak saya tetap pelajar lain juga di sini.

“Masalah liputan Internet dan talian telefon sudah lama dialami penduduk di sini serta lima kampung berdekatan yang lain. Malah ada juga golongan muda membina pondok di atas pokok untuk mendapatkan Internet dan rangkaian telekomunikasi lain,” katanya.

— BERNAMA

COMMENTS