Laksana darurat untuk selamatkan siapa sebenarnya? – Mujahid

1. DARURAT adalah satu keperluan sangat mendesak yang ditetapkan oleh undang-undang bagi memelihara keselamatan negara. Bentuk ancaman yang mewajibkan darurat seperti ancaman keselamatan negara, ancaman ketenteraman awam dan ancaman lumpuh ekonomi. YDPA berkuasa untuk proklomasi darurat berpandukan kepada perkara 150 perlembagaan dengan nasihat PM mengikut perkara 40.

2. Berita petang ini melaporkan bahawa PM kerajaan PN telah bersetuju untuk kemukakan kepada YDPA untuk perkenan supaya DARURAT diisytiharkan. Seluruh negara diheret sekali lagi dengan aksi DARURAT TSMY yang lebih dilihat mahu selamatkan diri daripada mahu selamatkan negara dari krisis covid!

3. Tidak salah kita berfikiran demikian kerana sejak Februari 2020 kerajaan beliau muncul dalam keadaan kemandatan yang dipertikai serta kepimpinan beliau yang mengalami kemorosotan kepercayaan daripada rakyat kebelakangan ini.

4. Bagaimana kita tidak berfikiran demikian jika kita mengambil latarbelakang kedudukan TSMY yang berada di hujung tanduk dalam majoriti yang rapuh dan lemah. Apatah lagi asakan kelebihan majoriti kukuh yang didakwa dimiliki oleh DSAI telah menekan beliau untuk mengundurkan diri. TSMY memang kehabisan peluru melainkan peluru darurat untuk menangkis asakan DSAI.

5. Yang tersurat alasan ‘abah’ ialah penularan wabak covid 19. Alasan ini sebenarnya memperkukuhkan apa yang dikatakan selama ini tentang ketidakupayaan kerajaan beliau mengendalikan krisis dan betapa lemahnya TSMY. Kelemahan ini tidak mendesak kepada perlunya DARURAT, tetapi ia adalah desakan supaya beliau letak jawatan dan serahkan kepada kepimpinan yang lebih berkesan menangani covid.

6. Saya telah tegaskan sebelum ini bahawa kerajaan yang layak memimpin saat krisis pandemik adalah, yang kemandatannya tidak diperktikai, parlimennya kuat dan kerajaannya dipercayai rakyat. Semua itu tiada pada kepimpinan ‘scheme of things’ di atas alasan yang mudah, iaitu kerajaan PN terbentuk atas satu pembelotan dari tragedi langkah sheraton! Inilah musibah dan sumpah yang negara warisi hari ini.

7. Untuk menyelamatkan diri dari pendedahan demi pendedahan kelemahan kerajaan PN dan ketidakupayaan kabinet xxxl beliau, TSMY mengambil jalan pintas dengan memutuskan satu DARURAT diperlukan. Apa yang sepatutnya dilakukan ialah membaiki kelemahan, menggunakan secara efektif peruntukan akta kawalan penyakit akta 342 yang dipinda untuk kendalikan pandemik dan memperkecilkan saiz kabinetnya untuk fokus. Tetapi TSMY memilih satu kaedah yang bakal mengundang musibah lebih buruk daripada langkah sheraton.

8. Dalam suasana kendalian krisis baik politik mahupun pandemik aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban sangat terutama dan kritikal. Asas demokrasi yang mengawal perjalanan keadilan dan amanah adalah perantara penting kepercayaan rakyat dipertingkatkan. DARURAT adalah satu keadaan yang tidak mewajibkan ketelusan kerana tujuan darurat adalah untuk memintas semua itu demi keselamatan negara. Soalnya kenapa perlu kita memintas semua itu sedangkan syarat kejayaan pengendalian krisis tergantung kepada sejauhmana ketelusan dapat dipraktikkan.

9. YDPA lebih bijak dalam memahami keadaan dan sejauh mana kuasa Baginda hendak digunakan adalah antara Baginda dan Hikmah yang akan memandu keputusannya nanti.

DARURAT hanyalah helah TSMY untuk mempertahankan pembelotan yang dilakukannya kepada mandat rakyat pada Februari 2020. Tolak DARURAT, pertingkatkan keupayaan yang ada dan yang terpenting TSMY sila lah beri peluang kepada yang lain!

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar

COMMENTS