KPN, PAT tiba di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya

Kenderaan yang membawa Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani memasuki Pejabat Perdana Menteri, di sini, pagi ini.

Beliau tiba di Bangunan Perdana Putra tepat jam 9.30 pagi tadi kira-kira 10 minit selepas kenderaan membawa Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya masuk.

Kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang kemudiannya menyusul dan memasuki bangunan sama.

Kesemua mereka hadir ke Pejabat Perdana Menteri bagi menghadiri mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang dijadualkan bermula jam 10 pagi tadi.

 

 

Difahamkan mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan situasi politik sedia ada dan kedudukan kerajaan hari ini susulan tindakan UMNO menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, difahamkan, mesyuarat Kabinet akan diadakan jam 12 tengah hari ini selepas Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

COMMENTS