Ketum, bunga api dan dadah bernilai RM1.44 juta di rampas Kastam Perlis
KANGAR, 12 Nov — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas dadah jenis syabu, daun ketum, mercun serta bunga api yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.44 juta, iaitu satu nilai yang terbesar direkodkan tahun ini, sepanjang Op Benteng bulan ini.
Pengarah JKDM Perlis Wan Nor Wan Mamat berkata, pada 10 Nov sejumlah 20 kilogram dadah jenis syabu dan 20,000 biji pil ecstacy yang masing-masing dianggarkan bernilai RM800,000 dan RM600,000 berjaya dirampas di tepi jalan susur keluar Hentian Sebelah Tikam Batu Arah Selatan, Lebuhraya Utara-Selatan.
Beliau berkata, pihaknya percaya dadah tersebut telah dipunggah di kawasan sunyi dan diletakkan di situ sebelum diambil rangkaian ahli sindiket lain, bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati dadah jenis syabu itu disembunyikan dalam bungkusan teh cina serta pil ecstacy dalam bungkusan kotak dan disembunyikan bersama timbunan tepung gandum, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Wan Nor berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, menerusi beberapa serbuan yang dilaksanakan di berberapa lokasi sekitar Kuala Perlis pada 5 dan 6 Nov, pihaknya berjaya merampas sejumlah 1,070 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM42,000.
Katanya, kesemua rampasan melibatkan daun ketum itu kini disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Kastam juga berjaya menumpaskan cubaan menyeludup mercun dan bunga api seberat 63.7kg dianggarkan bernilai RM3,400 di hadapan sebuah pasar raya, Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah.
“Mercun dan bunga api itu ditemui dalam dua buah kenderaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
— BERNAMA