Kerajaan Perak stabil, 3 ADUN ‘katak kuasa dua’ tidak gugat status quo

IPOH – Kestabilan politik Perak tidak tergugat selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) mengambil keputusan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, gabungan ADUN yang menyokong kerajaan ketika ini ialah seramai sebanyak 36 orang dan tidak memberi kesan kepada kestabilan pentadbiran.

Menurutnya, parti kerajaan terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas mempunyai kerusi yang mencukupi bagi meneruskan pentadbiran sedia ada.

“Tiga ADUN itu hanya tukar parti sahaja dan tidak memaklumkan untuk menarik sokongan kepada kerajaan negeri. Jadi tidak ada kesan kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Sebahagian Jalan Tambun di Dewan Badminton XTreme Park, Bandar Sunway di sini pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tambun merangkap Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.

Saarani berkata demikian sebagai mengulas tindakan ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng; ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam yang sah menyertai PBM serta menjadi Ahli Jawatankuasa Tertinggi parti itu.

Sementara itu Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, partinya terus memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Saarani dan yakin pentadbiran kerajaan ketika ini berjalan dengan baik.

Ditanya mengenai tindakan Paul Yong dan Sivasubramaniam yang merupakan ahli bersekutu Bersatu menyertai PBM, Pengerusi Bersatu Perak itu berkata, tindakan itu di luar pengetahuannya.

“Saya sudah hantar mesej bertanya (tindakan keluar parti) pada mereka berdua, tetapi belum berjawab jadi saya tidak dapat memberi kepastian.

“Tetapi (tindakan itu) OK, hari ini saya lihat kerajaan negeri Perak masih kuat, utuh. Itu yang paling penting kerana saya percaya menteri besar bagi fokus pada masalah rakyat dan itu yang kami akan bantu,” katanya.

Untuk rekod, di Perak sebelum ini Bersatu mempunyai tujuh ADUN bagaimanapun tiga daripada mereka iaitu ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim termasuk Paul Yong dan Sivasubramaniam meninggalkan parti itu.

ADUN Bersatu yang masih kekal ialah Ahmad Faizal (Chenderian), Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik), Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Kurau)

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan tiga ADUN Perak sah menyertai PBM yang yang baru dilancarkan pada 21 Disember 2021.–SH

COMMENTS