Kartel daging: Salahuddin pernah ditawarkan percutian mewah ke Eropah

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub dinasihat tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia susulan dakwaan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu pernah menerima tawaran percutian mewah oleh individu dipercayai mewakili kartel daging import ketika baru beberapa bulan dilantik ke jawatan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata suruhanjaya itu bersedia menjalankan siasatan berhubung pendedahan terbabit.

“Jika Salahuddin pernah menerima tawaran percutian mewah daripada syarikat pengimport daging ketika menjadi menteri, beliau perlu tampil membuat aduan kepada SPRM,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Kelmarin, Salahuddin dilaporkan, mengakui pernah didatangi wakil syarikat kartel di pejabat, menawarkan percutian kelas pertama ke Eropah.

berita berkaitan | Kartel daging: SPRM Johor Tahan Dua Pegawai MAQIS

Difahamkan, tindakan kartel itu bagi memastikan syarikat mereka menjadi ‘pilihan’ utama kementerian bagi urusan membawa masuk bekalan daging sejuk beku ke negara ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai itu turut mengakui terpaksa berdepan kerenah birokrasi agensi awam tertentu apabila mahu melakukan penambahbaikan prosedur mengimport bekalan daging sejuk beku.

Pada 2 Disember lalu, BH mendedahkan kewujudan kartel penyeludupan daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

berita berkaitan | PANAS !!! “Kartel Daging” wujud sebab pegawai kuat makan rasuah?

Kartel terbabit kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, Johor.

Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging sebelum dibungkus semula dan dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.-BH

COMMENTS