Judi raya: PDRM Bukit Aman mula ambil tindakan keatas penerbit dan pelakon

Judi raya: PDRM Bukit Aman mula ambil tindakan keatas penerbit dan pelakon

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil penerbit dan pelakon-pelakon disyaki terlibat dalam sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian yang tular dan mengundang kecaman netizen.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata isu kandungan video berkenaan didapati jelas melanggar undang-undang dan boleh mendatangkan kegusaran awam.

Beliau berkata siasatan PDRM akan lebih menjurus kepada penerbit dan para pelakon yang terlibat dalam video itu.

“Mereka akan dikesan dan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Acryl Sani berkata PDRM menerima satu laporan polis yang dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menyiasat asal usul video itu.

Menurutnya lagi, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan dihubungi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi atau menyebarkan video ini melalui media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial satu video yang berdurasi selama dua minit satu saat bertemakan Aidilfitri yang mempromosikan perjudian dalam talian.-MK

COMMENTS