Isu Kalimah Allah: P.Pinang sudah siapkan draf enakmen kawalan dan sekatan

Pulau Pinang sudah menyiapkan draf enakmen kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam, kata Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi Dan Pemerkasaan Komuniti, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

“Pulau pinang memang sudah siapkan draf enakmen ini dan ia pernah bangkit di dalam DUN beberapa kali,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

“Untuk enakmen mengawal penyebaran agama lain selain Islam ini keputusannya sekarang ialah tangguh pembentangan ke dalam DUN sehingga Parlimen membahas dan meluluskan undang-undang serupa untuk Wilayah Persekutuan seperti apa yang diumumkan oleh Jakim,” tambahnya.

Isnin lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Marzuk Shaary memaklumkan mengenai penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam untuk Wilayah Persekutuan.

Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, bersama tiga lagi perkataan Arab (baitullah, Kaabah, solat) dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) berkata, penggubalan akta berkenaan di peringkat Wilayah Persekutuan akan membolehkan negeri-negeri lain mencontohinya dengan menambah baik enakmen sedia ada di negeri masing-masing.

“Draf itu masih di peringkat jawatankuasa dan tertakluk kepada penambahbaikan. Jawatankuasa pelarasan mencadangkan supaya tunggu undang-undang digubal bagi melihat apa yang dibahaskan,” tambah Zakiyuddin.

Adun Pinang Tunggal itu menambah, kerajaan negeri Pulau Pinang memang ada melakukan proses penyelarasan berkenaan undang-undang syariah dan banyak hal lain dengan Jakim dan pihak pusat.

Di Malaysia, kesemua negeri mempunyai enakmen kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islamnya yang tersendiri, kecuali empat negeri.

Empat negeri itu ialah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Cadangan untuk enakmen sedemikian turut sudah berada dalam proses perbincangan bagi negeri Sabah, kata Mufti Sabah, [email protected] Jaafar.

“Draf belum ada, tetapi sudah dibincangkan. Dalam proses perbincangan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, pihaknya mengambil berat perkembangan terkini mengenai keputusan mahkamah tinggi dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian, memandangkan fatwa mengenainya sudah jelas dan larangannya juga sudah diwartakan.

Katanya, pihaknya juga sedang memantau dan mengambil kira perkembangan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam untuk Wilayah Persekutuan.

Namun, jelasnya, dia belum pasti apakah enakmen di Sabah akan mengikut RUU di Wilayah Persekutuan.

“Sebab Wilayah Persekutuan berbeza dengan Sabah dalam banyak keadaan,” katanya.

Tambah Bungu @ Aziz juga, perbincangan mengenai enakmen itu akan dibuat secepat mungkin, tetapi dalam masa sama yang sama, tidak tergesa-gesa.

Ini kerana, katanya, masih ada dua peringkat rayuan yang boleh dikemukakan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu – iaitu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Kita akan bincangkan di peringkat lebih tinggi, misalnya dengan pejabat peguam negara di Sabah. Kemudian ke majlis tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah, supaya sebarang cadangan itu diselaraskan dengan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.

“Perbincangan sedang ke arah itu,” katanya lagi.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 2008, menetapkan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ adalah khusus buat agama dan umat Islam sahaja, dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Pada 1986, kabinet memutuskan kalimah Allah termasuk antara kalimah yang dilarang penggunaannya oleh bukan Islam, dan telah diwartakan sebagai eksklusif untuk umat Islam sahaja.

Larangan oleh kerajaan ini disifatkan “silap” oleh Mahkamah Tinggi dalam keputusannya pada 10 Mac lalu.

Selain itu, mahkamah turut memutuskan arahan Kementerian Dalam Negeri pada tahun sama yang melarang penggunaan kalimah “Allah” bersama tiga perkataan lain dalam penerbitan Kristian sebagai menyalahi undang-undang dan tidak rasional.-MK

COMMENTS