Harimau ‘jenguk’ dari pagar sekolah

Gua Musang: Selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai diancam serangan harimau sehingga terpaksa menangguhkan sesi pembelajaran bersemuka, kini SK Balar pula diancam binatang buas berkenaan.

Difahamkan, harimau berkenaan dikesan berada di tepi pagar asrama SK Balar semalam sehingga menimbulkan ketakutan kepada pelajar dan penduduk sekitar.

Menerusi status di Facebook yang dimuat naik seorang guru di sekolah berkenaan, memohon orang ramai mendoakan keselamatan mereka.

“Harimau Malaya mari ziarah SK Balar. Doakan kami semoga sentiasa dalam perlindungan Allah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya sudah mendapat maklumat berkaitan kewujudan harimau di sekolah itu.

“Kita sudah terima maklumat berkaitan kehadiran harimau di SK Balar. Jarak SK Balar ke Pos Bihai iaitu kedudukan harimau sebelum ini adalah dua jam perjalanan.

“Setakat ini, kita memasang tiga perangkap berkamera di Pos Bihai dan operasi serta pemantauan berterusan dijalankan bagi menangkap harimau terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Mangsa, Anek Along maut diserang ketika sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah jam 9.10 pagi.

Susulan kejadian itu, sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 SK Bihai, secara bersemuka yang sepatutnya bermula kelmarin, terpaksa ditangguhkan berikutan mengalami ancaman serangan harimau.

Sekolah berkenaan dikatakan mengambil pendekatan untuk meneruskan sesi pembelajaran dan pengajaran dari rumah (PdPR).

Berdasarkan surat pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah Gua Musang, memaklumkan pembukaan sekolah secara bersemuka ditangguhkan dan diteruskan secara PdPR. —HM

COMMENTS