“Harga Sotong Viral 2 ekor RM100”, wanita tampil mohon maaf

PELANGGAN yang membayar RM100 untuk dua ketul sotong goreng di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di Pulau Pinang tampil memohon maaf atas salah faham yang berlaku.

Mesej permohonan maaf yang dihantar oleh seorang wanita yang tidak mahu namanya disiarkan, disiarkan di laman Facebook Restoran Hameediyah pada Rabu

Dalam posting itu, wanita itu berkata, dia mengunjungi restoran berkenaan untuk membeli makanan bersama pasangannya dan mengambil dua ekor sotong goreng berharga RM50 seekor.

“Saya melihat pemilik restoran memasukkan harga makanan dan tidak membantah harga tersebut. Saya pernah datang ke restoran dan memesan hidangan yang sama dan saya tahu harganya,” tulisnya dalam mesej yang dihantar kepada pengarah restoran tersebut, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim.

Wanita itu berkata, dia hanya memuat naik gambar resit dan makanan itu dalam kiriman Instagram dan tidak meletakkan sebarang kapsyen menunjukkan harga.

Beliau bagaimanapun berkata seorang individu telah berkongsi tangkap layar tersebut sebelum memuat naik di laman Facebook.

Tambahnya, individu itu turut menambah kapsyen yang menyebabkan berlakunya salah faham.

Katanya, harga sotong goreng itu berpatutan kerana saiznya yang besar.

“Saya tidak berniat langsung untuk viralkan posting saya, tetapi ada pihak lain yang screenshot posting saya dan kononnya cuba menggambarkan saya sebagai orang yang mengadu tentang harga,” katanya.

Wanita itu berharap dengan penjelasan itu, orang ramai akan lebih memahami isu tersebut.

Terdahulu, posting itu telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia apabila ramai yang mengecam restoran terkenal itu kerana menjual hidangan itu pada harga sedemikian.

Sementara itu, Mohd Riyaaz berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang telah memberitahu mereka untuk memberikan butiran pada Khamis untuk menilai tindakan seterusnya.

“Kami menjelaskan harga sotong goreng adalah ‘mengikut saiz’ dan dipamerkan di papan. Pelanggan tidak berkata apa-apa apabila diberi bil dan dia membayarnya,” katanya.

Katanya, restoran berkenaan menjual sotong itu sejak tahun lalu dan ini adalah kali pertama mereka berdepan isu sebegitu. – The Star.

COMMENTS