COVID-19 : 99 peratus kakitangan, anggota keluarga Penjara Reman P. Pinang negatif

GEORGE TOWN, 20 Okt — Sebanyak 99 peratus daripada 316 kakitangan dan ahli keluarga penghuni kuarters Penjara Reman Pulau Pinang, yang selesai menjalani ujian saringan COVID-19 disahkan negatif virus itu.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh Ismail berkata keputusan baki ujian saringan COVID-19 yang lain masih belum diperolehi, namun dijangka diketahui selewat-lewatnya esok.

“Semua mereka mula menjalani ujian saringan COVID-19 sejak Khamis sehingga Sabtu lepas dan setakat ini kami telah terima 99 peratus keputusan, semuanya negatif, malah kakitangan penjara juga telah buat ujian saringan sebanyak dua kali, serta turut disahkan negatif.

“Bermula semalam, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) membuat ujian darah ke atas semua kakitangan penjara, untuk memastikan dan mengesahkan semua mereka bebas daripada jangkitan COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, tiada penambahan kes baharu membabitkan jangkitan COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang semalam, dan setakat ini seramai 398 banduan yang dijangkiti penyakit itu sedang menerima rawatan serta berada dalam keadaan stabil.

Mengulas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan sejak 15 Okt lepas, Mohamed Jusoh berkata sehingga hari ini, keadaan berjalan lancar dan baik malah pihaknya menerima bantuan daripada pelbagai pihak.

Sejak 5 Okt lepas, Kluster Penjara Reman merekodkan 399 kes yang kesemuanya membabitkan banduan dengan seorang daripadanya meninggal dunia, dan ketika ini PKPD sedang dikuatkuasakan di Penjara Reman Pulau Pinang serta kawasan kuarters sehingga 27 Okt.

Sementara itu, Pengarah Penjara Seberang Perai Zulkifli Abdul Manah berkata pertambahan 14 kes positif COVID-19 yang disahkan di penjara itu di Jawi dekat sini semalam, hanya melibatkan banduan dan setakat ini tiada lagi kes melibatkan pegawai penjara selepas dua pegawai disahkan positif sebelum ini.

Menurutnya ujian saringan pertama kepada lebih 300 kakitangan dan kira-kira 700 banduan yang ditempatkan di blok baharu di penjara tersebut telah selesai semalam.

“Semua banduan yang disahkan positif telah diasingkan ke blok di penjara yang dijadikan wad sementara, mereka dipantau rapi oleh petugas KKM dan keadaan kesihatan mereka juga stabil,” katanya.

Zulkifli berkata semua kakitangan penjara itu juga akan menjalani ujian saringan kedua COVID-19 bermula esok, diikuti banduan lama yang tinggal di blok berbeza, bagi memastikan mereka tidak dijangkiti penyakit tersebut.

“Ujian saringan untuk banduan baharu semua sudah selesai. Selain itu, ujian pertama untuk kakitangan juga sudah selesai dan mereka sedang menjalani ujian saringan kedua. Selepas ini, kami juga akan menjalankan ujian saringan ke atas banduan lama yang tinggal di blok berbeza. Mereka ini mempunyai risiko amat rendah untuk jangkitan COVID-19,” katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan seperti bekalan makanan, pelitup muka dan peralatan perlindungan diri (PPE), beliau berkata setakat ini kesemua bekalan tersebut mencukupi.

“Keperluan semua mencukupi, Alhamdulillah. Terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang bantuan ini. Keadaan di penjara terkawal dan pihak penjara bersama KKM sedang bekerja keras dalam menangani penularan wabak tersebut,” katanya.

Pulau Pinang kini merekodkan dua kluster utama iaitu Penjara Reman dan Penjara Jawi, menjadikan kedua-dua penjara itu sebagai institusi hukuman ketiga dan keempat di negara ini yang mencatatkan jangkitan COVID-19 selepas Tawau di Sabah dan Alor Setar di Kedah.

— BERNAMA

COMMENTS