Calon PM ke-9: Hanya Anwar Ibrahim tidak hubungi GPS untuk sokongan

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak hari ini mengesahkan ada dihubungi oleh pemimpin politik bagi mendapatkan sokongan GPS membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan, beliau tidak dihubungi Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Musim sekarang (krisis politik) semua ada hubungi, tidak, (Anwar) tidak ada,” katanya ringkas selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan termasuk Ahli Parlimen GPS.

Sebelum itu, Abang Johari dilaporkan berkata, GPS sudah sebulat suara menyokong satu nama untuk calon Perdana Menteri baharu dan ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu disahkan Abang Johari ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan khas bersama pemimpin GPS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sarawak itu enggan mengulas lanjut termasuk mendedahkan nama calon yang disokong dan keputusan kini diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

“Ini adalah permintaan daripada Istana Negara, mana boleh saya beritahu anda sekarang, kerana saya tidak boleh mendahului Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.

“Apa pun keputusan ia terpulang kepada mereka, saya tidak boleh beritahu (nama calon) kerana kita berurusan secara terus kepada Agong, sokongan diberikan sebulat suara,” katanya sebelum meninggalkan kawasan DUN Sarawak.

Dalam perkembangan sama, Abang Johari mendedahkan ada dihubungi oleh pihak tertentu mengenai sokongan kepada calon Perdana Menteri ke-9.

Terdahulu, Abang Johari ketika ditanya soalan sama semasa menghadiri program di Miri hari ini berkata bahawa GPS terus dengan pendirian untuk tidak mencampuri urusan pemilihan Perdana Menteri ke-9 sebaliknya kuasa itu diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

Pada Isnin lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Tindakan itu diambil Muhyiddin selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai perdana menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

— ASTROAWANI

COMMENTS