Azmin atau Tun M yang berbohong?

Ketika ramai tertumpu pada Belanjawan 2021, timbul pula pergeseran antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ada yang menganggap perkembangan itu hanya satu ‘wayang’ sahaja kerana dimaklumi Azmin merupakan anak didik Mahathir.

Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini mendedahkan Mahathir yang sebenarnya merancang penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk kekal sebagai Perdana Menteri (PM).

Adakah dakwaan Azmin terhadap PM keempat dan ketujuh itu benar, serta bertujuan mengalihkan perhatian ramai terhadap Belanjawan 2021?

Mereka yang menganggap perselisihan itu sandiwara mengatakan Azmin berani mengkhianati PKR kerana mendapat sokongan kuat Mahathir sendiri.

Justeru, Azmin melakukan political stunt dengan mengundang Ahli-ahli Parlimen Umno datang ke rumahnya. Mahathir merestuinya, kata mereka.

Pun begitu, dalam jawapan beliau, Mahathir memberi hujah-hujah yang kelihatan logik.

Menurut pengasas Pejuang itu, beliau telah berkali-kali menafikan dakwaan tersebut kerana PN dianggotai kleptokrat, dan ditunjangi Umno secara en bloc.

Jika mengikut logik, perancang sesuatu perkara pasti gembira dan menerimanya apabila yang dirancang itu menjadi kenyataan.

Kalau yang dirancang itu persatuan, pertubuhan ataupun lebih besar lagi, kerajaan, tentulah dia gembira dan mengetuainya kerana memang diidam-idamkan.

Menurut Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, jika beliau merancang penubuhan PN, mengapa pula menolak apabila ia menjadi kenyataan.

Lagipun, kalau menerimanya, tambah Mahathir, sudah pasti beliau kekal sebagai PM seperti yang diakui sendiri oleh Azmin.

Mahahtir turut berhujah, jika ada sesiapa yang bersungguh-sungguh merancang penubuhan Kerajaan PN dan keluar dari Pakatan Harapan (PH), sudah pasti mereka itu ialah Azmin dan PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mendapat hasil paling lumayan.

Usah lupa ketika semua ini berlaku, tambah Mahathir, kedudukan Azmin dalam PKR dan PH amat terancam. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penyokong-penyokongnya merancang, dan berusaha menjatuhkan Azmin, yang telah dimulai sejak pemilihan dalam PKR.

Anwar secara terbuka menyokong Rafizi Ramli yang menentang Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR, dan apabila usaha tersebut gagal, muncul pula video yang mengaitkan Azmin dengan perlakuan seks luar tabii.

Jadi, Azmin tambah tertekan dan apabila beberapa penyokong Anwar dikatakan terlibat dalam penyebaran video tersebut, kedudukan Azmin dalam PKR, serta hubungannya dengan Anwar tidak boleh dipulihkan lagi.

Justeru, kata Mahathir lagi, walaupun menentang tindakan Azmin merancang Langkah Sheraton, tetapi beliau faham mengapa Ahli Parlimen Gombak itu berbuat demikian.

Alasannya, bagi Azmin, ialah amat penting menyekat Anwar daripada menjadi PM. Jika PH terus memerintah, sudah pasti Anwar berpeluang menjadi PM.

Tegas Mahathir, Azmin yang juga bercita-cita menjadi PM pasti mahu menghalang. Jadi, beliau bergabung dengan Muhyiddin. Hal itu amat ketara kerana Azmin diletakkan oleh Muhyiddin sebagai de facto Timbalan PM.

Meyakinkan dan mengajak ramai rakan sekelompok untuk keluar, kemudian menubuhkan kelompok lain bukan perkara mudah. Masa yang lama terpaksa diambil.

Oleh kerana itulah Mahathir yakin perancangan Azmin untuk membentuk kerajaan PN, dan Langkah Sheraton agak lama. Usaha meyakinkan sembilan ahli Parlimen PKR untuk menyertai Langkah Sheraton itu tidak mudah.

Azmin juga, tambah Mahathir, tahu bahawa jika sekadar Parti Pribumi Bersatu Malaysia menarik diri dari PH, itu belum cukup untuk menjatuhkan Kerajaan PH. Kalau Azmin turut serta, kerajaan PH terus hilang majoriti, dan tumbang.

Pihak Muhyiddin dan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri) pula cuba meyakinkan Mahathir bahawa Anwar, dan DAP sedang merancang untuk menjatuhkannya.

Dan kerana itu beliau perlu bergabung dengan parti-parti Melayu yang lain untuk menyekat perancangan tersebut.

Dalam masa sama, Umno atau lebih tepat lagi, Dato’ Sri Najib Razak, menghasut kumpulan-kumpulan Melayu agar membenci PH yang dianggap dikuasai DAP.

Mereka menabur kebencian dan pendustaan dengan isu Rome Statute (Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa), dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dikaitkan dengan Raja-Raja Melayu.

Kita tentu masih mengingati isu kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim, pelabelan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas, isu Tabung Haji, serta apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu, dan Islam yang boleh dituding kepada PH dan DAP, selain memainkan isu perkauman.

Akibatnya, keadaan menjadi agak tegang dan orang Melayu yang terpengaruh dengan tokoh kleptokrat tersebut mula menunjukkan sikap agresif, dan hilang pertimbangan.

Malang sungguh kerana orang Melayu yang mempercayai dakyah pemimpin kleptokrat, tidak menyedari isu mengenai Melayu, dan Islam ini hanyalah usaha untuk membebaskan diri penjenayah-penjenayah daripada menghadapi tindakan undang-undang.

Bukan sahaja ini dakwaan Mahathir. Kita semua dapat melihat bahawa hari ini segala isu yang ditimbulkan mengenai Melayu/Islam tidak lagi menjadi isu.
Semuanya didiamkan begitu sahaja. Pelaksanaan hudud masih tinggal cadangan, kempen mengutamakan pembelian barangan Melayu Islam senyap entah ke mana, kematian Allahyarham Adib belum terbela, dan banyak lagi!

Para ‘penunggang agama’ dan pejuang kaum diam membisu setelah menjadi kerajaan, dan berkuasa!

Jelas Mahathir, tuduhan bahawa beliau menyokong penubuhan PN timbul hari ini selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu semasa menjadi PM dahulu.

Jika ada yang masih ingat, tambah Mahathir, kehadiran beliau ke kongres itu bertujuan mengingatkan orang Melayu mengenai perlunya bekerja keras, dan mengubah sikap jika mahu kekal bersaing pada masa kini.

Bagi Mahathir, lebih baik beliau menghadiri dan menerajui kongres itu daripada membenarkan kleptokrat-kleptokrat mengeksploitasinya sebagai pentas untuk memanjangkan agenda perkauman, serta anti-bukan Melayu, dan Islam.

Mahathir pada ketika itu tetap enggan bekerjasama dengan kleptokrat, dan terus menolak Umno secara en bloc, serta kekal bersama-sama PH.

Dengan penjelasan Mahathir ini, adakah Azmin akan membuat penafian balas? Adakah tindakan beliau menuduh Mahathir kerana mahu membersihkan namanya setelah sejak awal Mac lalu dikecam sebagai pengkhianat kawan-kawan dalam PH?

Ertinya, beliau tidak bersalah, tetapi Mahathir yang menumbangkan kerajaan pimpinannya sendiri.

Dengan dakwaan bahawa Azmin anak didik Mahathir, adakah pendedahan dan penafian tersebut bertujuan melepaskan diri mereka masing-masing?

Pernah tular di media sosial gambar Muhyiddin bertemu dan berbual-bual dengan Mahathir selepas menjadi PM.

Ada juga yang mendakwa pernah melihat Mahathir dan Muhyiddin hanya berdua tanpa pengawal peribadi di dalam sebuah kereta (yang dipandu oleh Mahathir) di sekitar Putrajaya. Adakah itu hanya kebetulan, tanya mereka.

Ada pula penganalisis politik berpendapat dakwaan Azmin ini mungkin bertujuan mengeruhkan keadaan antara pemimpin PH, selain menegangkan lagi hubungan Mahathir-Anwar.


*RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.

Sumber Berita: MalaysiaDateline

COMMENTS