Agong sentuh “Perlembagaan” mengenai sokongan Ahli Parlimen kepada PM

Yang di-Pertuan Agong dalam pertemuan rutin dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan Presiden Bersatu itu tentang apa yang dinyatakan Perlembagaan mengenai kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen, menurut sumber.

Berdasarkan sumber di Istana Negara itu, Agong tidak secara eksplisit menitahkan Muhyddin yang dikatakan tiada sokongan majoriti lagi meletak jawatan.

“Namun Tuanku menyentuh Perkara 43(4) Perlembagaan,” kata sumber itu kepada FMT.

Perkara 43(4) Perlembagaan menyatakan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Agong.

Namun, pertemuan Muhyiddin dengan Agong hari ini menjadi buah mulut susulan pendedahan bahawa kira-kira 14 Ahli Parlimen Umno telah menandatangani akuan berkanun yang menyatakan mereka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

SD yang ditandatangani mereka itu disertakan bersama dua warkah yang diutuskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos.

Selepas pertemuannya dengan Sultan Abdullah sebelum mesyuarat Jemaah Menteri minggu lepas, Muhyiddin mengumumkan beliau tidak akan meletak jawatan walaupun menerima tekanan daripada Umno dan parti-parti pembangkang lain untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan akan membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September untuk menguji majoritinya, sambil menambah, keputusan ini telah diperkenan Agong.

Ini disusuli dengan sidang media oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa, 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan terus menyokong kerajaan Muhyiddin.

Namun, angka ini telah dipertikai kerana segelintir Ahli Parlimen disebut Ismail, yang juga Naib Presiden Umno, turut dimasukkan dalam warkah yang diutuskan kepada Agong. Mereka juga menafikan bahawa mereka masih menyokong Muhyiddin.

Berita : FMT

COMMENTS