7 ogos tarikh terakhir ahli Parlimen Umno nyata pendirian

7 ogos tarikh terakhir ahli Parlimen Umno nyata pendirian

KUALA LUMPUR- UMNO telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimennya agar menyatakan pendirian mereka secara bertulis.

Portal Suara TV melaporkan, surat yang dihantar oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan itu meminta semua Ahli Parlimen parti itu menjawab borang yang dikepilkan sebelum 7 Ogos.

Menerusi borang tersebut, semua Ahli Parlimen UMNO diminta menyatakan pendirian sama ada tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan meletak jawatan atau menyokong PN dan tidak akan meletak jawatan.

Menerusi surat itu juga, Ahmad mengingatkan semua Ahli Parlimen UMNO agar patuh kepada ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, yang antara lain menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung UMNO itu juga turut mengingatkan “adalah perlu untuk mana-mana Ahli UMNO mematuhi dan menghormati segala perintah dan keputusan parti selaras dengan Fasal 20.9(b) dan Fasal 20.9(d) Perlembagaan UMNO dengan cara menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin dan meletakkan segala jawatan yang dilantik oleh Kerajaan Perikatan Nasional selaras dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO tersebut.”

Bersama surat dan borang jawapan turut disertakan sebahagian peraturan disiplin UMNO yang memberi gambaran UMNO akan memecat atau menggantung Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan keputusan MT UMNO. – Sumber Awani

Artikel Penuh : SinarHarian

COMMENTS